Nasional

MAIPs sentiasa laksana dasar konstruktif – Raja Muda Perlis

Sebagai sebuah organisasi yang mengutamakan kepentingan Ummah, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sentiasa melaksanakan sesuatu keputusan berdasarkan pertimbangan yang berobjektif dan konstruktif.

Selaras dengan prinsip ‘syura’ yang memandu sesebuah organisasi, nilai kebersamaan antara semua pihak yang terlibat dengan ekosistem pengurusan haruslah sentiasa diberikan keutamaan. Bermula daripada peringkat pemutus dasar, sehinggalah pihak pelaksana, perlu seia dan sekata dalam menekuni hasrat dalam menjayakan sesuatu inisiatif yang dirancang.

Justeru, semua agensi dan jabatan bersama MAIPs diseru supaya sentiasa menekankan prinsip kebersamaan dan kesetiaan kepada organisasi di kalangan para pekhidmat dan penjawatnya supaya segala hasrat yang terkandung dalam Pelan Strategik MAIPs 2021-2025 dapat direalisasikan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut siaran media MAIPs ketika berkenan mempengerusikan ‘Mesyuarat MAIPs Sidang Kedua Bagi Tahun 2021’ yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Seriab dekat Kangar.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Polis Negeri, SAC Datuk Surina Saad yang juga merupakan salah seorang ahli MAIPs, Timbalan Ketua Polis Negeri ACP Baderulhisham Baharudin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, hanya dengan kesatuan pemikiran dan perbuatan dapat memastikan setiap langkah yang dilaksanakan oleh semua pihak akan memberikan impak yang positif kepada organisasi, sekaligus dapat menjamin kejayaan dalam tindakan.

Mesyuarat tersebut dapat dilaksanakan secara fizikal dengan pematuhan SOP kesihatan dan keselamatan yang telah ditetapkan di IPK Perlis pada kali ini sebagai sebahagian daripada bukti kolaborasi erat di antara MAIPs dengan pihak PDRM khususnya dalam program ‘MAIPs Peduli’ mengambil sempena memperingati Hari Polis ke 214 yang disambut pada 25 Mac baru-baru ini.

(Visited 184 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button