Nasional

Darurat: Bersih terkejut

Mohon ahli politik ketepi perbezaan, termasuk meminta PH tidak menentang PN di Parlimen

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) terkejut dengan berita bahawa darurat akan diisytiharkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, darurat tidak perlu jika sasaran pelaksanannya adalah untuk menangangi situasi Covid-19.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu menganggap langkah menguatkuasakan darurat sebagai tindakan yang berlebih dan mungkin akan menjadi permulaan yang mendatangkan bahaya kepada sistem demokrasi negara.

Bersih 2.0 mendakwa, adalah munasabah untuk beranggapan tujuan utama kerajaan untuk menasihati Agong mengisytiharkan darurat adalah disebabkan oleh faktor politik.

Ini kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin hanya mempunyai majoriti dua atau tiga ahli parlimen dan tergugat dengan langkah terbaharu oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kerajaan.

“Sekiranya perintah darurat melibatkan penggantungan parlimen dan kebebasan awam, maka ianya adalah sama seperti rampasan kuasa sendiri oleh kerajaan Muhyiddin untuk kekal berkuasa.

“Perintah darurat membenarkan kerajaan lantikan Agong untuk membuat ordinan yang akan mempunyai kuasa dan kesan yang sama seperti Akta oleh Parlimen, dan ianya akan berkuatkuasa sepenuhnya sehinggalah ianya ditarik balik atau dibatalkan serta ordinan tersebut tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Darurat juga akan memberikan Kerajaan Persekutuan kuasa untuk melanggar bidang kuasa kerajaan negeri.,” kata Bersih 2.0 dalam satu kenyataan.

Bersih 2.0 yang dilihat oleh umum sebagai terlalu pro-Pakatan Harapan itu berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersasar seperti yang sedang dilaksanakan sekarang adalah mencukupi sekiranya tujuan darurat dikuatkuasakan adalah untuk melawan Covid-19.

Katanya, Akta 342 atau Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 mempunyai peruntukan yang mencukupi bagi menyediakan langkah-langkah pencegahan penyebaran Covid-19.

Justeru, Bersih 2.0 memohon kepada semua ahli politik untuk mengenepikan sebarang perbezaan dan bekerjasama dengan persetujuan ‘keyakinan dan perbekalan’.

“Ini bermaksud pembangkang akan bersetuju untuk tidak menentang kerajaan PN dalam undi percaya atau berkenaan isu perbekalan namun masih mengekalkan hak untuk membangkang rang undang-undang yang lain.

“Ini bagi memastikan bahawa bantuan belanjawan Covid-19 yang akan dibentangkan pada bulan hadapan akan diluluskan dan mengekalkan kestabilan dalam Parlimen,” kata Bersih.-SM

 

(Visited 171 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button