Nasional

Tiffin JEIWA serlahkan motif Keluarga Malaysia pada mangkuk tingkat

APAKAH motif atau corak Keluarga Malaysia? Seolah-olah mendahului masa, pengeluar mangkuk tingkat atau tiffin terkenal, Tiffin JEIWA menyerlahkan motif-motif Keluarga Malaysia pada produk keluarannya.

Tiffin JEIWA yang diasaskan di Johor pada 2017 menjadikan motif batik dan etnik serta bunga-bunga, tumbuhan dan haiwan Malaysia sebagai corak yang dilukis dengan tangan oleh 60 artisan berbakat daripada pelbagai lapisan masyarakat pelbagai kaum.

Pengasas dan Pengarah Tiffin JEIWA, Nor Fadilah Mohamad Nizar berkata, semua artisan terbabit dilatih oleh Jeiwa Global Resourses dan menghasilkan lukisan daripada jiwa mereka sendiri.

“Kalau kita tengok di Malaysia, kita kaya dengan budaya pelbagai bangsa. Makanan, alam sekitar, flora dan fauna. Antara yang paling popular adalah lukisan batik dan etnik.

“Rekaan-rekaan ini telah mendapat perhatian dan sambutan yang sangat baik. Inspirasi datang kerana wanita, suka dan menghargai barangan yang cantik.

“Kita yang suka memasak ini suka benda-benda yang sepadan di dapur. Ia memberi satu inspirasi,” katanya.

Mangkuk jenama Tiffin JEIWA terhasil dengan niat membantu komuniti JEIWA iaitu Johor Empowerment of Intellectual Women Association, satu pertubuhan memperkasakan wanita.

Tambah Nor Fadilah, produk Tiffin JEIWA menggunakan keluli tahan karat 304 iaitu kualiti terbaik.

“Kita mahu masyarakat sayang pada produk, sayang pada alam sekitar. Produk ini warnanya tidak pudar, tidak toksik dan tidak berbahaya kepada makanan. Dan makanan tidak mudah rosak kerana setiap lapisan mempunyai penutup,” tambahnya.

Setiap satu reka bentuk disiapkan dalam tempoh tiga bulan. Selain mangkutingkat turut dikeluarkan adalah botol air, bekas makan tengah hari serta set bekas kuih raya. Harga bagi setiap produk bermula RM200 ke atas.

Mangkuk tingkat atau tiffin antara barangan unik yang dijual sempena Program Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Kumpur (KLCC).

Berasaskan kebajikan membantu komuniti dalam negara ini, Tiffin JEIWA akan digunakan membantu masyarakat Penan di Sarawak memasarkan produk anyaman mereka.-SM

(Visited 729 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button