Nasional

Tidak wajar bebankan rakyat kemelut politik tidak berkesudahan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah ahli Parlimen tidak wajar membebankan rakyat dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, titah itu disampaikan oleh baginda berdua dengan ketua-ketua parti politik semalam di Istana Negara.

“Rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan pada masa yang sama negara bergelut dengan isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

‘Kesepakatan dan kejujuran Ahli-ahli Dewan Rakyat sangat perlu bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Perak turut menzahirkan pandangan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah ini telah mengganggu-gugat tadbir urus Kerajaan ketika negara masih diancam pandemik COVID-19.

Baginda berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara.

Demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini.

Baginda berdua turut menzahirkan pandangan supaya ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera.

Sebelum mengakhiri sesi menghadap semalam, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan demi mengharmonikan suasana, ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan.

Dalam erti kata lain, yang menang tidak menang semua manakala yang kalah pula tidak kalah semua.

Al-Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin menerima menghadap wakil parti-parti politik utama terdiri
daripada UMNO, DAP, PKR, Bersatu, PAS, Amanah, Warisan dan Pejuang telah berlangsung lebih 90 minit bermula dari jam 2.30 petang semalam.

Kesemua 220 ahli Parlimen dititahkan supaya menghantar surat akuan menyatakan sokongan kepada calon perdana menteri yang baharu sebelum pukul 4.00 petang ini.-SM

(Visited 234 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button