Politik

Tidak perlu undi percaya kepada PM, kata Penggerak

TIDAK ada keperluan untuk melakukan undi percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob buat masa ini.

Pengerusi Penggerak Komuniti Negara Negeri Sembilan Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, hanya empat situasi yang memerlukan ahli Parlimen melaksanakan undi percaya kepada perdana menteri di Dewan Rakyat.

Situasi pertama yang memaksa undi percaya dibuat adalah sekiranya wujud penarikan sokongan oleh ahli-ahli Parlimen penyokong kerajaan.

Kedua menurut beliau, wujud situasi peletakan jawatan oleh mana-mana anggota Kabinet kerana hilang kepercayaan kepada perdana menteri sehingga menyebabkan hilang sokongan majoriti.

“Ketiga, salah seorang ahli Parlimen selain daripada Perdana Menteri berjaya menunjukkan sokongan melebihi sokongan ahli Parlimen yang diterima oleh Ismail Sabri.

“Keempat, diititahkan semula oleh Yang di-Pertuan Agong untuk dilaksanakan undi percaya setelah Kerajaan sedia ada mungkin hilang sokongan majoriti,” kata Mohd. Nazree.

Menurut beliau, berdasarkan situasi semasa, usul undi percaya kepada Ismail Sabri adalah suatu yang tidak perlu diperbincangkan dalam sidang Parlimen yang dijadual berlangsung bulan ini.

Mohd. Nazree menegaskan, kerajaan perlu memberikan tumpuan terhadap pemulihan ekonomi dan kesihatan awam.

Wakil rakyat yang dipilih perlu memainkan peranan aktif dalam sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung dengan memastikan agenda ekonomi dan kesihatan rakyat diberikan tumpuan.

“Rakyat akan menilai prestasi Kerajaan dan wakil rakyat berdasarkan indikator ini.

“Semua pihak perlu memberikan tumpuan terhadap semangat Keluarga Malaysia seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memastikan agenda kepentingan rakyat dan negara dapat direalisasikan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sebelum ini beberapa pihak mahu undi percaya terhadap Ismail Sabri dilakukan di dalam Dewan Rakyat.

Beberapa ahli Parlimen telah pun menghantar usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat agar undi percaya dilakukan sebagai sidang Dewan Rakyat berlangsung.-SM

 

 

 

 

 

(Visited 215 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button