Nasional

PM cakna penjawat awam, skim pelarasan gaji akan dirombak

KOTA BHARU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan beberapa imbuhan tetap dan merombak skim pelarasan gaji kepada penjawat awam dalam tempoh seminggu dua lagi.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat pengurusan pertama pelarasan skim gaji itu minggu depan.

“Saya fikir pendekatan lama skim pelarasan gaji perlu dirombak, tunggu pengumuman dan sedikit penyesuaian dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Cakna MADANI Bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kementerian Pendidikan di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini pada Ahad yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Pada 13 Julai lepas, Perdana Menteri berkata, skim gaji penjawat awam akan disaran dinaikkan secara berperingkat berdasarkan keupayaaan ekonomi negara dan cadangan itu akan dikemuka dalam mesyuarat dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamad sebelum Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, ganjaran munasabah dan adil akan diberikan kepada penjawat awam di negara ini berikutan tiada kenaikan dalam tempoh yang agak lama.

“Pelarasan ini dilakukan untuk meningkatkan skim gaji guru dan penjawat awam yang lain sekali gus bagi mengurangkan jurang perbezaan skim gaji.

“Ini bukan sebab nak pilihan raya negeri tetapi saya mahu dikenali sebagai Anwar yang prihatin,” katanya.

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button