Politik

Tidak perlu tunggu fasa 3, untuk buka parlimen – Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan ketetapan kerajaan berhubung Parlimen hanya boleh bersidang selepas negara memasuki fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara sebagai tidak masuk akal.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Parlimen seharusnya bersidang secepat mungkin sebagai tonggak demokrasi terpenting di Malaysia.

“Saya tidak pasti apa kaitan 40 peratus populasi negara ini menerima dua dos suntikan vaksin, baru Parlimen akan dibenarkan bersidang semula iaitu dianggarkan sekitar September atau Oktober tahun ini.

“Sedangkan barisan Ahli Parlimen sudah lama menerima suntikan vaksin COVID-19 yang bermakna sidang Parlimen sepatutnya adalah selamat untuk diadakan,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, lebih mengelirukan apabila dimaklumkan semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi pada fasa ketiga kecuali pada bagi aktiviti yang berada dalam senarai negatif. Senarai negatif fasa ketiga yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi jangkitan COVID-19 termasuk pub, spa dan salon kecantikan.

“Adakah ini bermakna Parlimen yang merupakan lambang demokrasi negara diletakkan dalam senarai negatif yang sama seperti pub, spa dan salon kecantikan?

“Pihak manakah yang sebenarnya sengaja cuba menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat berkenaan prinsip demokrasi berparlimen?” katanya.

“Sidang Parlimen masih boleh diadakan secara maya seperti yang dilakukan di kebanyakan negara lain. Parlimen sebagai badan legislatif mewakili suara serta hak rakyat dan badan perundangan tertinggi di Malaysia. Parlimen sebagai proses semak dan imbang terhadap perbelanjaan serta pentadbiran negara supaya ia telus dan jujur demi kepentingan rakyat,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika membentangkan Pelan Pemulihan Negara petang tadi berkata, pembukaan semula sidang Parlimen berupaya dilakukan menjelang fasa ketiga apabila beberapa keadaan semasa dalam negara, khususnya berkaitan pandemik COVID-19 melakar perkembangan positif.

Ia merangkumi penurunan purata kes harian COVID-19 hingga bawah 2,000 kes, manakala sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penyusutan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) ke paras mencukupi selain 40 peratus populasi menerima dua dos suntikan vaksin.

(Visited 92 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button