Nasional

Hayati iktibar kejatuhan kerajaan BN dan PH

Oleh Ruhanie Ahmad

Umat Bumiputera-Melayu-Muslim ketika ini perlu menghayati iktibar dari kekalahan kerajaan BN dan kejatuhan kerajaan PH.

Ini boleh dijadikan pendorong untuk mereka menitikberatkan penyatuan dan perpaduan politik mereka menjelang PRU15.

Kerajaan BN ditakdirkan runtuh dalam PRU14 untuk menginsafkan Bumiputera-Melayu-Muslim bahawa pemerintahan yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa sentiasa dilaknat oleh Allah.

Pemerintahan PH ditakdirkan runtuh pada 24 Februari 2020 untuk menginsafkan Bumiputera-Melayu-Muslim bahawa Malaysia tidak sekali-kali boleh ditadbir oleh kerajaan yang meminggirkan Bumiputera-Melayu-Muslim sebagai Bangsa Teras di negara ini.

Datuk Dr Ruhanie Ahmad

Dalam lain-lain perkataan, kejatuhan PH adalah takdir Allah untuk membuktikan Malaysia memang tidak boleh diperintah oleh kerajaan yang tidak berindukkan Melayu.

Ini kerana kerjaan PH adalah berteraskan PKR yang pelbagai kaum dan DAP yang selama ini memang dianggap parti didominasikan kaum Cina.

BERSATU yang memperjuangkan Bumiputera-Melayu-Muslim tersepit di antara dua parti di atas. AMANAH yang berasaskan Islam adalah sekutu kuat dua parti berkenaan.

Oleh itu, BERSATU meninggalkan PH untuk membolehkan Malaysia kembali diperintah oleh kerajaan berteraskan Melayu.

Hakikat ini tidak boleh dinafikan. Kajian saya selama sembilan bulan mendapati hakikat mengenai BERSATU ini adalah benar.

Namun hakikat ini bukan berdasarkan konsep ketuanan Melayu seperti yang didakyahkan oleh sesetengah parti dalam PH.

Hakikat ini adalah berdasarkan realiti Bumiputera-Melayu-Muslim sebagai Bangsa Teras di Malaysia.

Realiti ini menetapkan Bangsa Teras perlu mencorakkan undang-undang serta dasar affirmatif negara. Beberapa parti dalam PH tidak sensitif akan realiti ini.

Oleh itu, adalah sesuatu yang mendukacitakan apabila sesetengah pemimpin politik Bumiputera-Melayu-Muslim ketika ini sentiasa berbalah dan kelihatan gila kuasa.

Mereka gagal menginsafi bahawa PN lahir demi keselamatan politik Bumiputera-Melayu-Muslim yang hampir lebUr di era PH.

Lantas jika golongan politik ini terus mabuk kuasa dan asyik beradu-domba, Malaysia tidak mustahil kembali dikuasai pihak yang tidak pedulikan hak dan masa depan Bumiputera-Melayu-Muslim.

Kesimpulannya, umat Bumiputera-Melayu-Muslim perlu memberikan kata dua kepada pemimpin politik yang sedang berusaha untuk mengheret mereka ke kancah kehancuran agama, bangsa dan tanah air.

Bumiputera-Melayu-Muslim akar umbi perlu insafkan mereka dan desak mereka supaya bersatu bukan jadi sasau bagai dirasok hantu!

(Datuk Dr Ruhanie Ahmad, bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor 1990-2004, adalah penganalisis keselamatan dan pertahanan nasional)

(Visited 382 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button