Politik

Tun M dakwa Tanah Melayu akan hilang jika undi PH

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta orang Melayu tidak mengundi calon Pakatan Harapan (PH) kerana mereka mahu berikan Tanah Melayu diberi kepada orang lain.

Sehubungan itu beliau meminta orang Melayu keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi jika tidak mahu kehilangan Tanah Melayu.

Katanya, berdasarkan buku sejarah Tanah Melayu mempunyai kawasan yang sangat luas dari Segenting Kera di Thailand hingga ke Kepulauan Riau Lingga namun di zaman penjajahan British dan Belanda ia hilang semuanya.

Jelasnya, bagaimanapun, orang Melayu kehilangan sedikit demi sedikit tanah mereka sehingga tinggal yang ada sekarang ini.

“Kita perlu tahu daripada mana kita datang supaya kita tahu di mana kita berada dan kita mungkin tahu jugak ke mana kita akan pergi.

“Sebab itu mengetahui sejarah dalam politik amat penting, kalau kita tak tahu sejarah kita tak tahu apa hak kita di mana kita duduk negeri mana yang dimiliki oleh kita.

“Sebenarnya sejarah menunjukkan Tanah Melayu ini cukup besar. Dulu Tanah Melayu bermula dari Segenting Kera Thailand sehingga Kepulauan Riau Lingga. Ini semua adalah Tanah Melayu.

“Saya cakap ini bukan nak cabar 3R tetapi sejarah menunjukkan kita besar tetapi pihak British telah bagi kepada Thailand kita hilang empat buah negeri lepas itu Kepulauan Riau Lingga kita setuju kawasan ditawan Belanda diberi kepada Indonesia.

“Kita hilang Singapura dulu Johor punya orang Johor tahu. Singapura milik Johor tetapi dah jadi satu negara lain. Tinggal kepada kita beberapa negeri sahaja,” ujarya ketika berucap dalam Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) di Markas Pas Bakri, Muar, Johor di sini, malam tadi.

Hadir sama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dominic Lau dan calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Dr Mohd Mazri Yahya.

Mengulas lanjut Mahathir mendakwa beliau ada mendengar ada orang menyebut Tanah Melayu bakal menjadi milik orang lain.

“Tetapi ada pihak yang lawan di sini Pakatan Harapan (PH) yang nak bagi negeri-negeri Melayu ini kepada orang lain jadi bila bagi orang Melayu tak ada negeri Johor pun tak ada.

“Saya tak bersetuju jangan sokong PH ini kerana dia nak bagi negeri kita kepada orang lain. Negeri Melayu tinggal sikit saja. Jika parti itu (Pakatan Harapan) terus memperolehi kemenangan, mereka akan memberikan Tanah Melayu ini kepada orang lain.

“Oleh yang demikian jangan sokong PH kerana mereka mahu berikan Tanah Melayu diberi kepada orang lain,” katanya

Sehubungan itu Mahathir meminta orang Melayu keluar melaksanakan tanggungjawab mengundi seperti mana orang Cina lakukan jika tidak mahu Tanah Melayu diberikan kepada orang lain. – SM

(Visited 58 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button