MahkamahNasional

Mengaku beri suapan, peniaga baja didenda RM100,000

MAHKAMAH Sesyen Ipoh hari ini menjatuhkan denda RM100,000 ke atas seorang peniaga baja didenda selepas dia mengaku bersalah atas dakwaan memberi suapan wang tunai kepada penjawat awam, empat tahun lalu.

Menurut laporan Harian Metro, Hakim M Bakri Abd Majid turut memerintahkan tertuduh, Lee Soon Teck, 53, dihukum penjara 10 bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Tertuduh membuat pengakuan mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu secara rasuah memberi suapan wang tunai berjumlah RM30,150 kepada seorang ejen kerajaan Malaysia (penjawat awam) iaitu Pembantu Penguatkuasa Muhammad Fithry Hassan yang bertugas di Ibu Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya.

Suapan itu adalah sebagai balasan untuk melepaskan tertuduh daripada diambil tindakan undang-undang kerana menyimpan baja bersubsidi tanpa lesen di bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di premis perniagaan Guan Choon, Batu 6, Jalan Baru, Parit Buntar, Perak pada pukul 10.30 pagi, 8 Oktober 2018.

Pertuduhan pilihan itu dibaca mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam V A Kailashii.

Sebelum itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Hakim M Bakri turut memerintahkan wang tunai bernilai RM30,150 yang juga wang suapan rasuah dalam kes ini dilucut hak kepada kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 40(1)(a) Akta SPRM 2009.

Tertuduh membayar denda yang dikenakan ke atasnya hari ini. – SM

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button