Berita

Setiap muslim mempunyai kewajipan terhadap al-Quran – Raja Perlis

KANGAR, 9 Jan — Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullai bertitah setiap umat Islam mempunyai kewajipan terhadap al-Quran, selaku panduan kehidupan dalam segenap segi dan bukanlah satu himpunan kata-kata yang boleh diambil ringan, diamalkan apabila mahu, ditinggalkan apabila tidak bersesuaian dengan nafsu dan kehendak peribadi.

“Maksud beriman dengan al-Quran, tidak terhenti setakat mengatakan dengan lidah al-Quran sebagai kalam Allah, tujuan penurunan al-Quran ialah untuk memberikan manfaat dan mengelakkan manusia daripada mudarat, sama ada di dunia dan di akhirat,” titah baginda ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat negeri di Dewan Warisan di sini malam tadi.

Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallulail; dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; serta turut di hadiri Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Baginda bertitah segala perundangan, nasihat, peringatan dan khabar gembira di dalam al-Quran, perlulah diamalkan, sebanyak dan sebaik mungkin.

“Kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam mencerminkan al-Quran dalam kehidupan seharian. Saya menyarankan, tidak perlu kita bercita-cita tinggi dengan cuba membincangkan soal yang selayaknya diserahkan kepada golongan pakar.

“Cukup dimulakan dengan soal yang asas namun penting, seperti solat lima waktu dengan tepat waktu dan khusyuk, membaca al-Quran setiap hari, memikirkan maksud dan hikmah penurunannya, memastikan diri dan kaum keluarga menutup aurat dengan sempurna, berbuat baik kepada sesama manusia dan menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat,” titah baginda.

Baginda bertitah majlis Tilawah dan Tadarus Al-Quran ini bukanlah satu majlis yang asing bagi rakyat Malaysia kerana ia dianjurkan setiap tahun dan ini menunjukkan masyarakat sememangnya mengambil berat mengenainya.

“Saya berpendapat bahawa majlis sebegini wajar dijadikan budaya masyarakat, sekali gus memberikan ruang kepada sesiapa sahaja yang hadir untuk menghayati al-Quran.

“Saya doakan bahawa penghayatan dan ilmu yang didapati tidak dibiarkan sia-sia, atau ditinggalkan di kerusi setelah tamat majlis. Hendaknya sekalian kita membawa pulang ilmu ini, dan berusaha untuk menerapkannya sebaik mungkin,” titah baginda.

Pada majlis itu, pasangan suami isteri, Mohd Anas Abdul Hadi, 31, dan Nor Husna Mohd Salleh, 30, muncul johan qari dan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran.

Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan hadiah iringan setiap seorang.

— BERNAMA

(Visited 180 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button