Nasional

Konvoi protes Azam Baki: Polis panggil Ketua Pemuda PKR

POLIS memanggil beberapa pemimpin Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung konvoi yang disertai mereka semalam bagi membantah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir berkata, beliau diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya esok untuk disoal siasat.

Turut dipanggil ialah Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran, Naib Ketua Pemuda PKR, S Thiban dan Setiausahanya, Syukri Razab.

Akmal dalam kenyataannya hari ini berkata, mereka disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Sementara kami akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis, intimidasi terhadap pemberi maklumat mahupun kumpulan pendesak perlu dihentikan segera dan sebaliknya Azam perlu dicutikan untuk membolehkan siasatan rapi dijalankan,” ujar Akmal.

Beliau berkata, Pemuda PKR akan meneruskan desakan sehingga perkara itu ditangani dengan lebih serius oleh kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, sayap Pemuda PKR akan menyerahkan memorandum rakyat di hadapan bangunan Parlimen ketika sidang khas Dewan Rakyat selama sehari pada 20 Januari ini.

Kira-kira 50 ahli Pemuda PKR menyertai konvoi semalam sebagai bantahan terhadap Azam Baki yang terpalit dalam kontroversi berhubung pemilikan saham korporat serta menyerahkan satu memorandum setiba mereka di Ibu Pejabat SPRM.

Sayap itu mahu Azam meletak jawatan dan siasatan yang bebas dan terbuka dijalankan terhadap isu tersebut. – SM

(Visited 252 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button