Rencana

Tiba-tiba atas semangat perpaduan nak masuk MRSM, SMK tak berpadukah?

AGAK janggal juga melihat telatah beberapa pemimpin politik yang menjadikan syarat masuk ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sebagai isu.

Beberapa orang daripada mereka dilihat melenting apabila syarat pelajar yang mahu masuk ke dalam MRSM perlu datang dari sekolah rendah kebangsaan (SRK).

Ini sekaligus menyaksikan pelajar dari sekolah jenis kebangsaan dan sekolah agama tidak berpeluang untuk belajar di MRSM.

Mereka membantah bahawa syarat ini tidak selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Antara yang membantah adalah Ahli Majlis Pimpinan Wanita Keadilan Pusat, Sivamalar Genapathy yang mahu agar pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta lepasan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) dibenarkan belajar di MRSM.

“Oleh itu, saya menyeru Yang Berhormat Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan pengurusan tertinggi MARA agar menarikbalik syarat kemasukan terbaru.

“Dan membuka ruang yang inklusif supaya pelajar pelbagai aliran seperti SJKC, SJKT, SABK dan SRAI mendapat akses kemasukan ke MRSM.

“Tindakan ini adalah selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru baru ini,” kata Sivamalar.

Sebuah portal berita pula melaporkan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dan bekas Timbalan Menteri Pembagunan Luar Bandar, R Sivarasa dalam satu kenyataan bersama mendakwa tiada lagi kuota 10 peratus pelajar bukan Bumiputera bagi kemasukan ke MRSM melalui polisi baharu itu.

“Kuota ini adalah kuota tambahan yang lazimnya tidak dapat dipenuhi. Maka, apa salahnya jika dibuka kepada sekolah-sekolah aliran lain?

“Ungkapan ‘Keluarga Malaysia’ yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya akan merupakan retorik dan sia-sia kalau dasar ini diteruskan oleh KPLB.” katanya.

Bila mengenai MRSM, MARA, UiTM, semuanya diperjuangkan atas nama perpaduan kaum,  penyatuan bangsa, Keluarga Malaysia.

Bukankah perpaduan itu perlu dipupuk dari seawal kecil lagi?

Mahu membina Keluarga Malaysia, mahu membina perpaduan, marilah kita bermula dengan membenarkan semua anak-anak kita belajar, bermain dan bergaul di dalam sekolah yang sama sejak di peringkat kecil lagi.

Jika sekolah kebangsaan itu teruk, tidak berkualiti seperti yang didakwa, maka anda sebagai pemimpin corakkanlah sekolah kebangsaan itu menjadi lebih perkasa, lebih berkualiti dan bermutu.

Keluarga Malaysia itu datangnya daripada iltizam anda sebagai pemimpin, tidak kira dari parti mana pun anda berada.

Jangan lagi pisahkan anak-anak kita, sehinggakan bahasa kebangsaan pun ada yang gagal untuk kuasai walaupun lahir dan dibesarkan di Malaysia. Bila jadi pemimpin, berbahas di Parlimen pun bahasa kebangsaan yang diucapkan seperti baharu lulus menjadi warga Malaysia. Ini adalah sangat memalukan.-SM

(Visited 477 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button