Nasional

Tiada yang terkandas di Redang, 13 pelancong terakhir dibawa keluar

BAGI memastikan tiada lagi pelancong yang terkandas di Pulau Redang, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan feri ke pulau itu telah membawa keluar semua 13 pelancong dalam operasi terakhir hari ini.

Penolong Pengurus Operasi, Sejahtera Feri Services Sdn Bhd, Suzana Mohamad berkata tindakan itu selaras dengan pengumuman kerajaan negeri Terengganu untuk menutup semua pulau peranginan dan hotel bagi mengekang penularan COVID-19.

“Operasi terakhir pada 7 pagi tadi dan selepas itu kakitangan syarikat telah melakukan kerja-kerja pembersihan dan proses nyah kuman di seluruh bahagian feri.

“Kakitangan di sektor pengangkutan adalah antara golongan yang sangat terdedah dengan jangkitan ini, jadi kami telah membekalkan sarung tangan, penutup mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan sepanjang operasi dilakukan,” katanya kepada pemberita ketika tinjauan operasi terakhir feri itu di sini.

Syarikat itu yang mempunyai enam buah feri mula beroperasi sejak tahun 2004 dengan perjalanan dari jeti Shahbandar ke Pulau Redang.

Suzana berkata sejak kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan pada 16 Mac lepas, Sejahtera Feri Services telah bekerjasama dengan semua pengusaha resort dan chalet di pulau itu untuk memantau jumlah kedatangan pelancong dan mengosongkan pulau sebaik sahaja kerajaan negeri mengarahkan pulau peranginan dan hotel ditutup. – BERNAMA

(Visited 78 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button