fbpx
BeritaPolitik

Tiada undang-undang larang kerajaan negeri beri tanah milik kekal – Aziz Bari

Majlis Tanah Negara tidak mengambil alih kuasa penuh negeri ke atas tanah sebaliknya hanya berperanan menetapkan soal dasar dan terpulang kepada negeri-negeri untuk melaksanakan atau tidak.

Malah, tiada peruntukan undang-undang yang melarang kerajaan negeri daripada memberi hak milik kekal kepada rakyat.

Justeru, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abd Aziz Bari mendakwa, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sengaja menimbulkan kekeliruan dan mengkritik secara membuta-tuli.

Ini kerana katanya, Pakatan Harapan (PH) negeri Perak tidak pernah meletakkan pemberian pajakan tanah selama 999 tahun sebagai janji dalam manifesto PH negeri.

Sebaliknya tegas beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri itu, manifesto yang termaktub adalah mengenai pemberian hak milik kekal.


“Kenyataan beliau yang menyifatkan manifesto PH bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-73 adalah sesuatu yang langsung tidak berkaitan dan cubaan untuk mengelirukan masyarakat.

“Ini jelas menunjukkan beliau tidak mengkaji manifesto PH sebelum mengkritik secara terbuka tentang pemberian tanah kepada kampung baru, kampung tersusun dan tanah felda,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abd. Aziz lagi, tuduhan UMNO yang menyifatkan DAP sebagai bermain sentimen kaum bagi menekan Menteri Besar juga dilihat sebagai propaganda jahat dalam memecahbelahkan PH.

Katanya lagi, ia cubaan memperlihatkan kerajaan hari ini sebagai tidak bertanggungjawab aabila gagal menunaikan janji manifesto pilihan raya lalu.

“Janji PH dalam isu hak milik kekal ini tidak langsung memberi kesan negatif kepada orang Melayu bahkan mereka juga akan menikmati faedahnya.

“Hak milik kekal adalah untuk semua kaum dan bukan untuk kaum Cina sahaja.

“Jauh sekali makna yang cuba diketengahkan pembangkang seolah-olah memberi gambaran manifesto ini mengenai merampas tanah Melayu untuk diberi kepada orang Cina,” ujarnya. – Perak Gazette.

Show More

Related Articles

Back to top button