
Tiada Tindakan Lanjut, Peminat Kecewa Kes Serangan Asid Faisal Halim Ditutup
KES serangan asid yang menimpa pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, pada tahun lalu telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara.
Peguam kepada Faisal, Nik Zarith Nik Moustpha, mengesahkan perkara itu menerusi satu surat bertarikh 18 Februari 2025 yang diterima daripada pihak pendakwaan. Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas pihak polis gagal menemui sebarang suspek atau bukti baharu walaupun siasatan menyeluruh telah dilakukan.
“Lebih 12 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan dan rakaman CCTV di lokasi kejadian turut dianalisis. Namun, tiada petunjuk kukuh ditemui,” katanya.
Serangan tragis itu berlaku pada 5 Mei 2024 di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, di mana Faisal disimbah asid oleh individu tidak dikenali. Akibat serangan tersebut, beliau mengalami melecur tahap empat pada wajah, tangan dan badan, serta menjalani empat pembedahan sebelum pulih dan kembali beraksi bersama Selangor FC serta skuad Harimau Malaya.
Berita mengenai klasifikasi NFA ini nyata mengecewakan para peminat sukan tanah air. Ramai meluahkan rasa tidak puas hati dan kecewa di media sosial kerana tiada individu dibawa ke muka pengadilan, meskipun kes ini telah mendapat perhatian seluruh negara serta mencetuskan solidariti menerusi kempen #JusticeForFaisalHalim.
Walaupun kes rasmi telah ditutup, gelombang sokongan terhadap Faisal tidak pernah reda. Pelbagai pihak termasuk komuniti sukan, pemimpin negara dan rakyat terus menunjukkan sokongan moral terhadap pemain berusia 26 tahun itu yang dilihat sebagai simbol ketabahan dan semangat juang tinggi.
Pihak berkuasa setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi lanjut berkaitan keputusan ini, namun masyarakat berharap agar keadilan tetap ditegakkan sekiranya maklumat baharu muncul pada masa akan datang.