NasionalNegeri

Tiada ternilai jasa wanita dalam pembangunan negara – Raja Muda

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh kaum wanita dalam pembangunan negara begitu besar dan tidak ternilai harganya.

Malah titah Baginda, tiada siapa dapat menyangkal pentingnya peranan golongan ini dalam mengait dan menyulam kisah kejayaan sesebuah keluarga, masyarakat mahupun negara.

“Komitmen, kesabaran dan kecekalan individu bernama wanita – sebagai seorang isteri, seorang ibu, seorang anak, kesemuanya melengkapi dirinya sebagai seorang wanita yang berjiwa besar – memberikan inspirasi buat semua,” titah Baginda.

Raja Muda berkenan menyempurnakan perasmian Pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) – ’Women In Search of Excellence Siri Ke-12’ bertajuk ‘Women As Frontiers of Society” anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama YTF, pagi ini.

Dalam titah, Baginda amat berbangga dengan pencapaian kaum wanita yang semakin hari semakin ramai bilangannya dalam mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang, sama ada di dalam mahupun di luar negara.


Titah Tuanku Syed Faizuddin lagi, wanita hari ini telah memainkan peranan besar dan telah sama-sama menyumbang terhadap pembangunan negara.

“Wanita merupakan salah satu tonggak pembangunan negara yang paling penting bukan sahaja dari segi aspek sosial, politik dan ekonomi, malah merangkumi segala aspek pembangunan negara,” titah Baginda

Raja Muda merangkap Penasihat DiRaja YTF percaya bahawa penglibatan wanita dalam organisasi-organisasi pentadbiran di pelbagai peringkat, boleh membawa perubahan yang besar terhadap dasar-dasar dan undang-undang serta sekaligus menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat, negeri dan negara.

Terdahulu daripada itu Pengerusi Webinar, Prof. Madya Dr. Saidatulakmal Mohd dan Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan menyampaikan ucapan aluan.

Ucap tama bertajuk ‘Peranan Wanita dalam Masyarakat disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof. Dr. Azlinda Azman yang disusuli dengan forum bertopik ‘Wanita Perkasa Era Digital’ dikongsikan oleh ahli panel terdiri daripada Prof. Emerita Datuk Dr. Asma Ismail, FASC., Prof. Emerita Datuk Dr. Rashidah Shuib dan Ong Bee Leng, FASC.

Webinar tersebut diperkenan penutupan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pengerusi YTF pada tengah hari. – SM

(Visited 34 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button