Politik

Presiden tidak kata UMNO, BN sokong Anwar – Asyraf Wajdi

Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak langsung mengatakan parti itu dan Barisan Nasional menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, keputusan dan ketetapan kepimpinan tertinggi parti dalam Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Presiden jelas berpendirian menolak DAP dan Anwar.

Majlis Tertinggi UMNO turut memutuskan bahawa sebarang keputusan Ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN akan dilakukan secara en-bloc, sepakat dan kolektif

Kepimpinan tertinggi parti juga mengambil keputusan untuk terus memperkasa dan memperkukuh kerjasama Muafakat Nasional.

“Presiden tidak sesekali mengatakan bahawa UMNO-BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sokong Kerajaan PN sehingga PRU-15, namun tidak sertai sebagai salah satu parti komponen jika PN didaftarkan sebagai parti,” kata Asyraf Wajdi.

Semalam Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menyatakan UMNO dan BN tidak dapat menghalang ahli-ahli Parlimen parti itu untuk mengambil keputusan menyokong Anwar yang berhasrat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana, kata beliau, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Sebagaimana diketahui umum, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen PN. Sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan dari Ahli-Ahli Parlimen sahaja.

“UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar bagi menyatakan hasrat beliau,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN telah menyuarakan sokongan dan dia menghormati pendirian ahli-Ahli Parlimen berkenaan.

Anwar dalam sidang media khas semalam berkata, beliau yakin mempunyai sokongan majoriti hampir dua pertiga ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau berkata, sokongan yang dianggap kukuh dan meyakinkan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebaik baginda keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN).

“Sebenarnya saya mendapat perkenan mengadap baginda Selasa pada jam 11 pagi, namun terpaksa ditangguhkan selepas baginda menerima rawatan di IJN,” kata Presiden PKR itu.-SM

 

 

(Visited 439 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button