Politik

Tiada siaran langsung debat Najib, Anwar di RTM

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 17 April – Orang ramai yang ingin melihat debat antara dua tokoh politik, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim secara langsung di Radio, Televisyen Malaysia (RTM) mungkin boleh melupakan hasrat itu.

Menteri Telekomunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan debat antara bekas Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang itu membincangkan isu Sapura Energy Bhd. (SEB) serta masa depan Malaysia pada 12 Mei ini tidak melibatkan RTM.

Menurutnya, debat antara dua tokoh terbilang politik negara itu tidak ada kaitan langsung dengan kerajaan atau pemimpinnya serta tidak sewajarnya disiarkan secara langsung di RTM.

Sebaliknya kata beliau lagi, debat yang akan diadakan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, Kuala
Lumpur pada pukul 9 malam itu lebih kepada individu dengan individu.

“Saya fikir ia adalah debat antara dua individu dan tiada kaitan langsung dengan RTM kerana ia tidak
melibatkan kerajaan atau pemimpin.

“Setakat ini, debat itu tidak ada kena mengena dengan kerajaan dan saya juga tidak didatangi oleh sesiapa
meminta untuk disiarkan secara langsung,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Iftar dan menyampaikan amanat kepada rakan strategik
di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta menyampaikan sumbangan kepada pelajar tahfiz dari
Madrasah Fathur Rahman.

Annuar diminta mengulas sama ada RTM akan menyiarkan debat antara dua tokoh politik itu yang dijadualkang
berlangsung pada 12 Mei depan.

Melalui kenyataan bersama Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil dan Penasihat Komunikasi Barisan Nasional
(BN), Isham Jalil hari ini berkata, debat dijadual bermula pukul 9 malam itu dapat disaksikan secara
langsung melalui media-media yang akan diumum kemudian atau secara fizikal atas jemputan kedua-dua
pemimpin berkenaan.

Kata kenyataan itu, format debat tersebut merangkumi tiga bahagian iaitu permasalahan dihadapi syarikat
minyak dan gas, Sapura Energy serta sama ada ia perlu diselamatkan atau tidak.

habis…/

(Visited 333 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button