Nasional

Individu balik dari Sabah, wajib saring, kuarantin di rumah, pakai gelang kuarantin

Nasihat Ketua Pengarah Kesihatan demi kebaikan semua

JANGAN berdegil dan dengarlah nasihat demi kebaikan kita semua. Bermula hari ini sehingga 10 Oktober, sesiapa sahaja individu yang balik dari Sabah adalah diwajibkan menjalani saringan kesihatan Covid-19 dan diarahkan untuk menjalani perintah pengawasan serta pemerhatian di rumah (HSO).

Nasihat itu dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, semua yang terlibat atau terbabit akan diberikan surat HSO, dipakaikan gelang kuarantin dan tarikh pengawasan pula bermula dari tarikh ketibaan individu-individu yang berkenaan sehinggalah keputusan makmal diperolehi.

DR. Noor Hisyam Abdullah

Menurut Dr. Noor Hisham lagi, aktiviti saringan akan dijalankan apabila mereka baharu tiba dari Sabah di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

Beliau berkata, pelepasan HSO akan diberikan sekiranya keputusan ujian makmal menunjukkan negatif Covid-19.

“Sekiranya ada mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang dari Sabah, individu yang berkenaan perlu menjalani saringan ulangan bagi Covid-19.

“Jika terdapat individu yang perlu meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing dengan menaiki kenderaan awam seperti teksi atau Grab, surat kebenaran untuk pergi ke alamat yang ditetapkan akan diberikan pada hari tersebut,” ujar beliau.

Katanya lagi, saringan ke atas individu, sama ada warganegara atau bukan warganegara yang balik dari Sabah, dikecualikan daripada dikenakan caj ujian Covid-19.

Tempoh pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 ke atas individu yang baharu pulang dari Sabah akan disemak dari semasa ke semasa, katanya.

“Ia berdasarkan penilaian risiko penularan jangkitan pada masa tersebut dan maklumat mengenai sebarang perubahan berkaitan dengannya akan dimaklumkan kepada umum,” kata Dr. Noor Hisham dalam kenyataan yang sama.

Menerusi ciapan Twitternya, Dr. Noor Hisham terdahulu memaklumkan, daripada 82 kes direkodkan hari ini, 79 kes merupakan penularan tempatan dan tiga kes import.

Menurut ciapannya lagi, daripada 79 kes tempatan, 53 kes melibatkan warganegara manakala 26 bukan warganegara.

Bagi kes import pula, kata beliau, dua kes melibatkan warganegara dan satu kes, bukan warganegara.

Sehingga kini, 89 pesakit dibenarkan discaj hari ini dan tiada pertambahan kes kematian pada tempoh sama, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 133 kes.- SM

(Visited 352 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button