Nasional

“Tiada Serangan Siber”, DBKL Jelaskan Gangguan Sistem Bukan Kerja Penggodam

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa sistem dalam talian agensi itu telah digodam dan penggodam menuntut wang tebusan bernilai RM236.17 juta (USD55 juta).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif menjelaskan, gangguan sistem yang berlaku baru-baru ini bukan berpunca daripada sebarang serangan siber, sebaliknya disebabkan isu teknikal yang telah pun dikenal pasti dan diatasi.

“Tiada sebarang tuntutan wang tebusan diterima. Sistem yang terjejas melibatkan 39 komponen seperti e-Perumahan, e-Lesen, e-Aduan dan e-Tempahan telah dipulihkan dan kembali beroperasi sejak 1 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Beliau turut memberi jaminan bahawa keselamatan data dan sistem DBKL terus menjadi keutamaan pihaknya, dan pelbagai usaha sedang digiatkan untuk memperkukuh infrastruktur digital serta mengelakkan kejadian sama berulang.

Terdahulu, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan bahawa sistem DBKL telah digodam dengan penjenayah siber dikatakan menuntut bayaran tebusan jutaan ringgit. Dakwaan itu turut dipetik oleh Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai yang menyatakan beliau menerima maklumat dari “sumber dipercayai”.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, mengesahkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang laporan rasmi mengenai kes penggodaman tersebut.

Mengulas lanjut, DBKL menegaskan komitmen mereka dalam meningkatkan tahap keselamatan siber dan menyokong kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan serta pakar teknologi bagi memantau, mengesan, dan membanteras sebarang ancaman siber yang mungkin timbul.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button