Nasional

Tiada sebab untuk tutup sempadan antarabangsa, kata menteri kesihatan

Tiada sebab untuk menutup sempadan antarabangsa buat masa ini kerana tiada kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pelancong yang tiba di Malaysia, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata terdapat trend penurunan yang stabil bagi penularan Covid-19 baharu di seluruh negara, dengan kurang daripada 500 kes baharu dilaporkan setiap hari.

“Kami telah merekodkan ketibaan lebih 4,000 pengunjung dari China sejak 8 Jan, dan jumlah itu meningkat kepada lebih 7,000 pengunjung setiap hari.

“Kami tidak mengesan satu kes jangkitan Covid-19 atau sesiapa yang mempunyai simptom di pintu masuk kami,” katanya pada majlis penyerahan Hospital Pendang oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini.

Dr Zaliha berkata jumlah kes Covid-19 yang rendah setiap hari bukanlah petanda bahawa kesedaran orang ramai untuk menjalani saringan semakin berkurangan.


“Sebenarnya jumlah saringan Covid-19 agak tinggi, malah kita menjalankan lebih 10,000 saringan setiap hari.

“Ini menunjukkan tahap kesedaran dalam kalangan rakyat khususnya mereka yang mempunyai simptom adalah tinggi tetapi jumlah kes positif semakin berkurangan.

(Visited 40 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button