Mahkamahpilihan

Wanita hamil tujuh bulan menangis buat pengakuan tidak bersalah

Seorang wanita yang mengandung tujuh bulan menangis teresak-esak sejurus jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan cubaan merompak sebuah kedai emas di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman di sini hari ini.

Tertuduh Norraniza Muhamad Puslam, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh di sini atas pertuduhan tersebut.

Tertuduh didakwa cuba melakukan rompakan terhadap seorang remaja, Nur Rabeatul Addawiyah Rasul, 16.

Kejadian berlaku di sebuah kedai emas Daz Jewellery, Mydin Ayer Keroh, Melaka Tengah, kira-kira pukul 4.45 petang pada 20 Disember lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Tertuduh yang diwakili peguamnya, Ilya Shahar merayu agar jaminan rendah dikenakan atas tertuduh atas alasan terpaksa menanggung dua anak, ibu bapa dan adiknya yang masih belajar.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri pula mencadangkan jaminan RM15,000 dengan dua penjamin.

Namun selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin ke atas tertuduh yang mengandung anak ketiga.

Sebeutan semula kes tersebut pada 10 Februari dan untuk serahan dokumen.

Sebelum ini akhbar melaporkan polis berjaya memberkas seorang wanita berjubah yang cuba merompak sebuah kedai emas berkenaan pada 20 Disember lalu.

Tangkapan terhadap suspek yang bekerja sebagai pegawai sumber manusia di sebuah syarika swasta di sini dibuat kira-kira pukul 5 petang di sebuah rumah di Kampung Kuala Linggi, Masjid Tanah. – SM

(Visited 512 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button