Nasional

Tiada penjarakan sosial, 45 pelanggan restoran dikompaun

SERAMAI 45 pelanggan sebuah restoran popular di Jalan Teluk Sisek di Kuantan, dikompaun RM1,500 ke RM2,000 seorang kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata kompaun terhadap mereka termasuk tujuh wanita itu dikeluarkan selepas pemeriksaan dilakukan pada 11.55 malam, mendapati mereka tidak mengamalkan penjarakan fizikal di restoran itu.

“Dua pelanggan didenda kerana tidak mengimbas aplikasi MySejahtera dan ketika ditanya seorang daripada mereka menunjukkan pendaftaran yang sudah lepas iaitu pada 21 April.

“Kami mendapati kebanyakan mereka memenuhi meja yang sama walaupun terdapat banyak meja kosong yang lain dan alasan yang diberikan ialah mereka tidak mengetahui peraturan jarak satu meter itu,” katanya dalam kenyataan di Kuantan hari ini.

Mohamad Noor berkata pengurusan restoran terbabit turut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal memastikan pelanggan mematuhi SOP.


“Pihak pengurusan memberitahu kami bahawa mereka telah menasihati pelanggan berkenaan tetapi mereka enggan mendengar. Bagi kami, pihak restoran sepatutnya menghubungi polis atau penguat kuasa majlis bandar raya apabila berdepan situasi itu,” katanya.

Mohamad Noor berharap kompaun itu akan memberi pengajaran kepada orang awam dan pengurusan tempat makan di Kuantan supaya mematuhi SOP untuk mengekang penularan COVID-19.– Bernama

(Visited 53 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button