Politik

Tiada pemerintahan diktator – Ahmad Shabery

ADALAH tidak adil dengan mendakwa pemerintahan yang dilakukan kerajaan pada hari ini seperti kepimpinan diktator.

Walaupun Perintah Darurat dikuatkuasakan sejak 11 Januari lalu, namun tiada mana-mana individu ditahan pihak berkuasa kerana menyanggah kerajaan.

Hal demikian tidak berlaku ketika era bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila rakyat Malaysia menyaksikan beberapa ahli politik ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Penguatkuasaan Perintah Darurat kini hanya merehatkan sementara demokrasi apabila Parlimen digantung, namun kritikan dan cadangan masih boleh dilontar kepada kerajaan.

“Ramai pula yang kata, hingga kini, mereka tak merasakan apa-apa pun bahana pemerintahan diktator.

“Tak ada siapa pun yang disumbat ke penjara kerana menyanggah kerajaan sebagaimana kerajaan diktator lain atau kerajaannya dulu.”

Kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr. Mahathir semalam yang mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan kesalahan apabila menguatkuasakan Perintah Darurat.

Dalam video yang dimuat naik menerusi siaran langsung Facebooknya semalam, Dr. Mahathir mendakwa Perintah Darurat adalah tidak sah.

Ini kerana, ketika dikuatkuasakan, Muhyiddin sudah tidak boleh menjadi Perdana Menteri kerana kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Malah, beliau juga mendakwa Muhyiddin menyebabkan Yang di-Pertuan Agong dilihat seperti diktator kerana memberikan kuasa penuh kepada kerajaan.

Bagaimanapun, Ahmad Shabery menyanggah kenyataan itu dengan memaklumkan Perintah Darurat yang dilalui akan berakhir pada Ogos ini.

“Lagi pun Parlimen digantung hingga bulan Ogos, bukan untuk selamanya. Demokrasi hanya direhatkan buat seketika.

“Mungkin sebab terlalu kuat bekerja, demokrasi bolehlah tidur dulu.

“Bagi yang memiliki kuasa penuh, kata Spider Man, ‘with great power comes great responsibility‘. Besar kuasa, besar tanggungjawabnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery juga dilihat menegur anggota Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Beliau, berkata sepatutnya sebagai pemimpin, perlu menyedari ‘great power’ yang dimiliki mereka dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

“Bagi yang tak terasa ada ‘great power‘ yang dipikul, boleh jaga badan dan siap-siap baju baharu. Raya pun tak lama lagi,” selorohnya. – SM

(Visited 290 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button