Politik

Bubar DUN: Musa Aman, 32 Adun kemuka rayuan

BEKAS ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan 32 lagi anggota DUN negeri itu mengemukakan rayuan berkaitan keputusan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Peguam Tengku Fuad Ahmad berkata, rayuan tersebut telah difailkan lima minit yang lepas.

Tengku Fuad berkata, terdapat dua perkara dalam penghakiman hari ini oleh hakim mendapati terdapat satu ‘locus standi’ untuk membawa kes semakan kehakiman, dan hakim didapati membuat penemuan bahawa Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebenarnya telah hilang majoriti dan mempunyai dua pilihan, sama ada untuk meletakkan jawatan atau membubarkan DUN.

“Bagaimanapun kami tidak bersetuju dengan penggunaan ayat hakim – nasihat dan mohon, kami akan membawa ini ke mahkamah rayuan sebab kami tidak melihat mohon dan nasihat sebagai satu perkara yang sama.

“Saya ingin memaklumkan yang notis rayuan telahpun dihantarkan oleh pejabat saya lima minit yang lepas. Perjuangan ini diteruskan, kami masih balum berputus asa dan anak guam saya juga tidak berputus asa,” katanya kepada media di luar kamar Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu seperti yang dilaporkan Bernama.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim hari ini menolak permohonan 33 ahli DUN untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri membubarkan DUN pada 30 Julai.

Sementara itu Peguam Besar Sabah Brenddon Keith Soh berkata, tidak sepatutnya ada sebarang ketidakpastian mengenai pilihan raya negeri, sama ada ia perlu diteruskan atau tidak, berikutan penghakiman hari ini.

“Mahkamah telah menolak kes terhadap responden, tiada semakan semula diberikan… untuk proses demokrasi pilihan raya negeri diteruskan, kini akan berjalan dan Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari dari pembubarannya.

“Akhirnya, ini bukan peguam atau mana-mana pihak, kes ini, hari ini tentang menegakkan Perlembagaan Negeri Sabah, hari ini tentang rakyat Sabah, bukti demokrasi masih wujud di Sabah,” katanya.

Soh menegaskan yang mahkamah telah memutuskan pembubaran itu sah dan mengikut undang-undang, oleh sebab itu keputusan mahkamah itu seharusnya dihormati oleh semua pihak.-SM

(Visited 108 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button