Parlimen

Tiada moratorium pukal, automatik hanya kepada B40, M40 T20 perlu mohon

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) memberi menjelaskan sekali lagi pemberian moratorium tidak diberikan secara automatik kepada semua golongan rakyat Malaysia.

Sebaliknya istilah automatik itu hanya diberikan kepada golongan B40 dengan permohonan dan kelulusan akan dimaklumkan dalam tempoh 24 jam.

Sementara bagi golongan M40 pula hanya melibatkan mereka yang terjejas dari segi pendapatan, namun perlu membuat pengisytiharan kendiri kepada bank dan keputusan akan diketahui dalam tempoh lima hari.

Pemberian moratorium tidak diberi secara terbuka seperti diminta Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebelum ini dalam perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2021.

Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira 700,000 pemohon lanjutan moratorium Oktober hingga Disember diluluskan.

Sementara sebahagian besar peminjam pula mula membuat bayaran semula sejak moratorium kali pertama tamat pada September lalu.

“Menurut BNM, pada bulan Oktober sekitar 85 peratus peminjam bank telah menyambung semula bayaran bank pada pinjaman mereka.

“Namun, kerajaan sedar masih ada kebimbangan membiayai hutang disebabkan penularan wabak Covid-19.

“Oleh itu, bergerak kehadapan kerajaan memberi komitmen akan terus mengadakan libat urus bersama institusi perbankan.

“Bersama-sama kami akan memastikan ketersediaan untuk membantu rakyat dan perniagaan sekiranya keadaan bertambah mencabar.

“Sehubungan dengan ulasan saya ini, saya berharap isu lanjutan moratorium mendapat sokongan semua.”

Demikian makluman daripada Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di awal penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab cadangan-cadangan yang dikemukakan mengenai lanjutan moratorium dalam perbahasan Belanjawan 2021 yang disertai 62 Ahli Parlimen.

Walau bagaiamanapun, beliau menjelaskan, rakyat Malaysia masih lagi boleh memohon moratorium pinjaman walaupun dalam kumpulan M40 ataupun T20.

“Semuanya layak mendapat bantuan dalam bentuk penangguhan, pengurangan dan penjadualan semula pinjaman.

“Golongan B40 dan peniaga kecil mendapat lanjutan moratorium pinjaman bank secara automatik. Golongan M40 pula hanya perlu membuat pengisytiharan sendiri tanpa perlu dokumen dan sebagainya.

“Bagi rakyat yang tidak tergolong dalam segmen-segmen diatas, mereka masih boleh mendapatkan moratorium dengan memohon kepada pihak bank masing-masing.

“Prinsip utama di sini adalah tanggungjawab dan keadilan. Adakah mereka yang kaya dan lebih daripada mampu untuk membayar hutang diberikan moratorium,” katanya.

Namun, beliau menegaskan adalah lebih adil jika peminjam yang berada dalam kedudukan lebih daripada mampu meneruskan pembayaran pinjaman seperti biasa.

“Bukankah lebih baik mereka membayar hutang supaya duit masuk ke sistem perbankan untuk menjana lebih banyak pinjaman, khususnya kepada perniagaan dan industri yang menampung dan mencipta pekerjaan untuk rakyat.

“Ini antara sebabnya mereka yang mampu wajar membayar balik pinjaman mereka,” ujarnya. – SM

(Visited 811 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button