Nasional

Bapa Zulfarhan maafkan tertuduh demi arwah

WALAUPUN memikul beban penderitaan yang memilukan, namun seseorang yang berjiwa besar dan mempunyai hati tulus akan memilih untuk menghulurkan salam perdamaian buat mereka yang telah menzaliminya seperti bapa kepada Zulfarhan Osman iaitu Zulkarnain Idros yang memaafkan mereka yang telah menyebabkan kematian anaknya.

Menurut laporan Astro Awani, Zulkarnain, 57 mengatakan bahawa jauh di sudut hatinya, dia sudah memaafkan semua tertuduh yang juga merupakan rakan anaknya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Ketika ditemui oleh wartawan dalam sidang media di pekarangan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa, Zulkarnain meluahkan isi hatinya.

“Sejujurnya, saya maafkan tertuduh yang buat anak saya.

“Bila saya maafkan, mungkin ada sedikit kelegaan di hati,” luahnya.

Dia turut mengakui bahawa pada awalnya, dia berasa berat untuk menjawab soalan tersebut namun selepas empat tahun, akhirnya kemaafan ‘menjentik’ hatinya.

Namun begitu, dia tetap berasa terkilan kerana menurutnya hanya seorang sahaja keluarga tertuduh datang bertemunya untuk memohon kemaafan.

“Keluarga tertuduh, mereka tidak datang berjumpa saya, tak minta maaf kecuali satu keluarga yang datang dan minta maaf dengan saya.

“Seolah-olah anak saya pula yang bersalah. Janganlah begitu, janganlah memutuskan silaturahim,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkarnain turut memberi pesanan kepada orang awam untuk tidak menjadi pembuli.

“Saya ingin pesan kepada masyarakat di luar sana, jangan jadi pembuli.

“Contohnya seperti saya, kalau buli bahayakan masyarakat hingga menghilangkan nyawa, kesannya adalah kepada kedua ibu bapa.

“Saya kehilangan anak sulung yang menjadi harapan keluarga,” luahnya.

Allahyarham Zulfarhan Osman yang maut dalam kejadian menyayat hati empat tahun lepas di UPNM. – SM

(Visited 125 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button