Nasional

Tiada lagi PKRC di MITC Melaka

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 27 April – Suasana hiba menyelubungi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Pusat Dagangan
Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh dekat sini apabila ditutup secara rasmi mulai hari ini.

Seluruh kakitangan daripada pelbagai agensi membabitkan 315 petugas tidak dapat menahan kesedihan selepas
11 bulan bertugas di PKRC, mereka akan kembali kepada tugas hakiki mereka selepas dipinjamkan dari setiap
pelosok negeri ini.

Antara agensi terlibat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhammad Akmal Salleh berkata, ekoran
penutupan PKRC itu,  Kolej Jururawat di Hospital Melaka akan dijadikan pusat rawatan sementara bagi
pesakit kategori 2 ke atas atau mana-mana yang perlu menerima rawatan serta dipantau petugas kesihatan.

Muhammad Akmal Saleh mengunci pintu hadapan MITC sebagai simbolik penutupan PKRC di Ayer Keroh, Melaka.

Menurutnya, kolej berkenaan mampu menyediakan antara 200 hingga 300 katil bagi merawat pesakit Covid-19.

Beliau berkata, jika berlaku peningkatan kes secara mendadak selepas ini,  pihaknya bercadang akan membuka
hospital Covid sama ada di Hospital Alor Gajah atau Jasin.

“Cadangan ini bertujuan kerana tidak mahu membebankan Hospital Melaka sehingga boleh mengganggu pesakit
yang bukan disebabkan Covid-19.

“Ini adalah antara cadangan-cadangan jika berlaku peningkatan kes Covid-19 di luar jangkaan dan buat
sementara waktu Kolej Jururawat di Hospital Melaka menjadi penempatan mana-mana pesakit yang dimasukkan ke
hospital untuk pemantauan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian penutupan PKRC MITC di Ayer Keroh di sini hari
ini.

Yang turut hadir Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Rusdi Abd. Rahman; Pengarah PKRC MITC, Dr. Abdul Karim
Abdul Rahman dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Lt. Kol. Cuthbert John Martin.

Mengulas lanjut Muhammad Akmal berkata, kadar kemasukan pesakit di Hospital Melaka adalah sebanyak 13
peratus, kadar kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU)  hanyalah 9.4 peratus.

Katanya, itu menunjukkan penurunan kes yang sangat baik di negeri ini di mana sepanjang tiga hari
berturut-turut kes Covid-19 dicatat kepada dua angka

.Untuk rekod, sejak PKRC dibuka pada 21 Mei tahun lalu dengan kapasiti 100 katil seramai 26,159 bagi
kategori 1 hingga 3 mendapat rawatan di situ serta melibatkan 315 petugas daripada pelbagai agensi.

Menurutnya, Melaka Tengah mencatat kemasukan pesakit paling tinggi sebanyak 12,468 (18.73 peratus), Alor
Gajah dengan 8,792 (33.61 peratus) dan Jasin sebanyak 4,899 (18.73 peratus.

Seramai 13,259 (50.6 peratus) adalah pesakit lelaki, 12,900 (49.4 peratus pesakit wanita di mana 507
adalah wanita mengandung.

 

 

 

(Visited 309 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button