Nasional

Tiada lagi pembaharuan bandar pinggir penduduk asal

SATU transformasi dalam pembangunan bandar akan dilakukan iaitu pembangunan tanpa meminggirkan penduduk asal supaya mereka juga dapat menikmati faedahnya.

Kaedah seperti ini dilihat penting kerana kerajaan dikatakan mahu melaksanakan pembangunan tanpa memindahkan penduduk asal ke tempat lain.

Kerana adalah tidak adil melihat mereka sebagai penduduk asal dipindahkan supaya pembangunan di kawasan kediaman mereka akan dimajukan.

Sebaliknya menerusi Program Pembaharuan Bandar Kuala Lumpur, penduduk asal akan menikmati pembangunan lebih baik termasuklah menduduki kediaman lebih selesa.

“Ini semua kita perlu perbaiki, jadi apa yang kita akan lalukan ialah mengenalpasti kawasan-kawasan sedemikian, kemudian menyusun perogram secara berperingkat.

“Saya melihat daripada satu sudut dimana kita mesti bersikap adil kepada semua golongan dalam bandar raya seperti Kuala Lumpur.

“Kalau hendak kirakan, orang yang miskin biasanya ditolak makin jauh daripada Daerah Pusat Perniagaan (CBD), makin jauh daripada kawasan-kawasan sudah maju.

“Kerana mereka terpaksa membeli aset yang harganya lebih rendah, murah dan sebagainya.

“Ini pada saya merupakan satu perkara yang tidak adil kerana mereka adalah sebahagian daripada stake holders yang penting dan sama-sama membangunkan Kuala Lumpur.

“Mereka ini dahulu tinggal di kawasan setinggan, kemudian dipindahkan mendiami kawasan rumah pangsa empat tingkat.

“Tetapi mereka merupakan sebahagian daripada Kuala Lumpur itu sendiri.”

Demikian kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang menerangkan konsep Program Pembaharuan Bandar Kuala Lumpur menerusi Bicara Naratif terbitan RTM TV1 malam ini.

Katanya Program Pembaharuan Bandar Kuala Lumpur adalah perancangan jangka panjang bagi pembangunan bandar di sana yang dibincangkan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari ini.

Dalam pada itu, Annuar menambah, penduduk akan menikmati kediaman yang lebih baik dalam program berkenaan kerana saiz rumah yang didiami sekarang tidak relevan dengan pembangunan semasa.

“Mereka tinggal di dalam rumah yang terlalu sempit apabila datang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua keluarga kena berada di dalam rumah sepanjang masa, rumah itu terlalu kecil.

“Jadi, kawasan ini akan dibangunkan semula, penduduk di situ akan mendapat unit lebih baik di kawasan yang sama.

“Tidak berlaku sebarang pemindahan keluar. Dengan cara demikian, kita mengharapkan supaya, kawasan strategik dan mahal ini cuma diperelokkan dipermodenkan tanpa menyebabkan mereka berada di situ dipindahkan.

“Konsep ini akan menjadi lebih adil dan bagi penduduk di sana jika rumah mereka bernilai RM40,000 – RM50,000, rumah murah tetapi mereka akan mendapat semula unit yang berharga lebih daripada RM200,000 ada sampai RM300,000.

“Kalau sekarang ini mereka mendiami rumah satu bilik, saya ingin memastikan mereka mendapat rumah tiga bilik dengan dua bilik air serta kemudahan fasiliti seperti mana yang terdapat di kondominium mewah yang berharga lebih tinggi,” jelasnya memberi harapan kepada warga Kuala Lumpur. – SM

(Visited 198 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button