Bola SepakSukan

Tiada lagi kelibat Felda United dalam Liga-M musim depan

FELDA United (FUFC) membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan kelab itu akan berundur daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula musim depan.

Khabar tersebut telah diumumkan oleh Unit Komunikasi Korporat Felda apabila memaklumkan keputusan penarikan diri tersebut dibuat setelah pengambilalihan penuh pentadbiran dan pengurusan FUFC serta anak syarikat The Fighters Sdn Bhd oleh Felda bermula 1 September lalu.

Menurut kenyataan itu, tujuan utama pengambilalihan adalah bagi mengawal perbelanjaan serta memastikan penyelarasan pelbagai program sukan dirancang dan dilaksanakan lebih patuh kepada garis panduan pengurusan pentadbiran, prosedur perolehan, pengurusan kewangan serta penilaian risiko.

“Felda ingin memaklumkan bahawa penglibatan FUFC dalam perlawanan bola sepak adalah sehingga musim 2020 sahaja. Mulai tahun 2021, FUFC tidak akan lagi menyertai Liga Super dan Liga Premier,” jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, ‘The Fighters’ antara 21 pasukan Liga-M termasuk skuad Liga M3 Armed Forces FC yang berjaya melengkapkan proses penswastaan dan diberi lesen kelab kebangsaan untuk bertanding bagi musim 2021.

Sementara itu, Felda turut mengesahkan seramai 16 pegawai FUFC yang ditamatkan perkhidmatan akan dibayar pampasan mengikut syarat-syarat pelantikan yang telah dipersetujui.

Bagaimanapun, Akademi Bola Sepak Felda yang dikendalikan FUFC pula akan tetap diteruskan bagi memperkasakan akademi tersebut yang berperanan sebagai platform pembentukan bakat dan modal insan dalam kalangan generasi baharu Felda.

Felda United pernah menjuarai Liga Premier pada 2010 dan 2018, serta muncul naib juara Piala FA 2014, selain mara ke separuh akhir Piala Malaysia sebanyak empat kali sejak ditubuhkan pada 2007.

Sekalipun tidak lagi berada dalam kancah Liga-M, diharapkan Felda akan dapat terus memberikan sumbangan kepada bola sepak di negara ini menerusi cara yang berbeza pula.

Hanya masa yang akan menentukannya nanti, dan apa yang pasti pengunduran daripada Liga-M bukan bererti ia menjadi titik noktah kepada perjalanan Felda dalam bola sepak Malaysia. – SM

(Visited 105 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button