Nasionalpilihan

Berhenti akauntan ceburi ternakan ayam kampung kacuk

Biarpun bekerja sebagai akauntan dengan sebuah syarikat koperasi di Kuala Lumpur dengan gaji besar namun ia tidak menghalang buat seorang lelaki menceburi ternakan ayam kampung kacuk di
Kampung Gubah, Asahan, Melaka dekat sini.

Bagi Mohd. Zamri Sharief, pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Hull, United Kingdom (UK), dia tidak menyesal berhenti kerja serta menubuhkan Koperasi Keluarga Haji Sharief Melaka Berhad atau lebih dikenali sebagai KOP-Khas.

Dia yang juga setiausaha KOP-Khas berkata, koperasi yang ditubuhkan atas nama arwah ayahnya dianggotai tujuh beradiknya, bapa saudara, ipar, menantu dan anak saudara seramai 28 ahli terlibat sepenuhnya dalam projek penternakan ayam kampung kacuk.

Mohd. Zamri Sharief membersihkan tempat makan ayam kampung kacuk di salah satu daripada lima ladang ternak di Kampung Gubah, Asahan, Alor Gajah, Melaka.

“Keputusan saya berhenti kerja sebagai akauntan adalah tepat. Sejak penubuhan KOP-Khas serta meneroka bidang penternakan ayam kampung kacuk sebagai bidang komersial adalah tepat.

“Begitu juga abang sepupu, Faizal Ahmad Shafii (Pengerusi) ambil keputusan berhenti jadi kontraktor dan bapa saudara, Abdullah Sa’adon (Timbalan) sanggup tutup bengkel kereta semata-mata mahu tumpu bidang ini.

“Keputusan kami adalah tepat dan sejak ladang ternakan ayam kampung kacuk beroperasi di kawasan seluas 1.4 ekar sejak 2 November 2020 dari 14,000 ekor kini berjaya menternak 25,000 ekor untuk satu pusingan,” ujarnya ketika ditemui di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, mereka kini mempunyai lima ladang ternakan dengan kapasiti satu ladang

sebanyak 6,000 ekor mengikut saiz antara 1.2 hingga 1.4 kilogram (kg), 1.5 hingga 1.8kg dan 1.9kg ke atas.

Kataya, setakat ini ayam kacuk yang diusahakan mendapat sambutan mengalakkan daripada pelbagai pihak sehingga tidak mampu menampung permintaan yang meningkat setiap bulan.

Jelasnya, sehingga kini pengeluaran ayam hidup matang di ladang ternakan sedia ada berjumlah 84,600 ekor.

“Dari segi prestasi tahun kewangan dan keuntungan untuk aktiviti penternakan berakhir 31 Mei tahun lalu meningkat sebanyak RM82,864.56 berbanding RM47,846.56 pada 31 Mei 2021,” ujarnya.

Katanya, walaupun koperasi yang ditubuhkan baru mencecah usia dua tahun namun mereka telah mencapai banyak kejayaan membanggakan.

Jelasnya, dia muncul Peladang Terbaik Negeri Melaka sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2022 dan Ikon Peladang Jaya sempena Sambutan Jubli Emas Lembaga Pertubuhan Peladang ke-50, Disember 2022.

Selain itu katanya, KOP-Khas turut dianugerahkan Koperasi Terbaik Bidang Keberhasilan Ekonomi Utama Negeri Melaka 2022, Anugerah 20 Koperasi Terbaik Peringkat Negeri Melaka 2022 dan mendapat pengiktirafan sebagai 350 koperasi terbaik Malaysia. – SM

(Visited 529 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button