
Tiada konflik Sharifah Shahirah dan Suria FM, cuma mahu jaga cucu
DEEJAY dan pelakon terkenal, Sharifah Shahirah mengesahkan bahawa keputusannya meninggalkan Suria FM bukan kerana menerima tawaran daripada stesen radio lain. Sebaliknya, beliau memilih untuk berehat dan memberi lebih banyak masa kepada keluarga.
Menurut laporan mStar, Shahirah turut menegaskan bahawa keputusannya tidak berkaitan dengan sebarang isu atau konflik dengan pihak pengurusan Suria FM. Beliau merasakan sudah terlalu lama berkhidmat di stesen itu dan bimbang pendengar mula bosan dengan suaranya, lebih-lebih lagi apabila rakan-rakan penyampai lain terdiri daripada generasi lebih muda.
“Tiada sebarang isu. Saya dan Suria FM berpisah secara baik. Saya rasa pendengar mungkin sudah bosan kerana semua penyampai lain masih muda, sedangkan saya yang paling senior,” katanya.
Dalam nada berseloroh, Shahirah turut meluahkan sedikit kekecewaan kerana tidak lagi dapat bertanding dalam kategori Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).
“Baru nak menang ABPBH, tapi dah tak boleh hantar nama. Tak mengapa, mungkin ada rezeki dalam bidang lakonan atau pengacaraan selepas ini,” ujarnya.
Untuk rekod, Shahirah mula menyertai Suria FM pada tahun 2018 menerusi segmen Suria Pagi sebelum berpindah ke Suria Petang bersama Chiwan dan Kai Hassan.