Nasional

Tiada kompromi terhadap keselamatan, keberkesanan dan kestabilan vaksin COVID-19 – Khairy

Kerajaan tidak akan berkompromi mengenai keselamatan, keberkesanan dan kestabilan vaksin COVID-19 dan keputusan akhir penggunaan vaksin perlu mendapat kelulusan dan pendaftaran  Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia .

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata tiada kelonggaran dalam penilaian bebas data klinikal oleh NPRA.

“Kerajaan amat memandang serius  isu keselamatan. Satu matlamat utama daripada dua fasa pertama percubaan klinikal ialah keselamatan.  Setiap vaksin perlu lulus dua fasa ini dan mesti dibuktikan selamat sebelum vaksin memasuki fasa ketiga.

Pada masa sekarang, tiada vaksin COVID-19 dalam fasa ketiga percubaan mempunyai data mencukupi untuk membuktikan keimunan steril yang menunjukkan jangkitan boleh dielakkan.  Lebih banyak maklumat akan diperoleh dengan kemajuan percubaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini yang menjawab kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mengenai vaksin COVID-19.

Media melaporkan Tengku Razaleigh dalam ulasannya mengenai perjanjian antara kerajaan dengan firma farmaseutikal Pfizer untuk mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 berkata, vaksin itu tidak pernah digunakan ke atas manusia sebelum ini, dibangunkan dengan terlalu pantas dan kerajaan perlu banyak menjawab banyak persoalan sebelum membenarkannya digunakan di Malaysia.

Mengulas lanjut, Khairy berkata peruntukan yang dianggarkan berjumlah RM3 bilion cukup untuk memperoleh dos mencukupi bagi melindungi 70 peratus rakyat bukan hanya 20 peratus seperti didakwa Tengku Razaleigh dan perjanjian dengan Pfizer jelas tidak menggunakan keseluruhan peruntukan itu.

Khairy juga menekankan projek Jaringan Keselamatan Vaksin (VSN)  terdiri daripada pelbagai kumpulan laman sesawang yang menyediakan maklumat keselamatan vaksin dalam pelbagai bahasa, dinilai oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selain memenuhi kriteria amalan maklumat yang baik.

“Diharap Ahli Parlimen Gua Musang boleh menyemak ketepatan sumber yang dipetiknya semasa menyediakan kenyataan itu,” katanya.

Khairy juga berkata pembangunan vaksin COVID-19 dipercepatkan kerana beberapa faktor, kebanyakannya berkaitan sains dan teknologi yang berubah dengan ketara dalam dekad lalu dengan platfrom baharu seperti “messenger RNA” (mRNA) dan vaksin berasaskan “adenoviral vector”.

“Pembangunan ini berlaku sebelum pandemik dan dengan segera diguna pakai untuk membangun satu vaksin bagi COVID-19,” kata beliau.

— BERNAMA

(Visited 469 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button