Nasional

Tiada kes COVID-19 libatkan rakyat Malaysia hari ini

MALAYSIA menyaksikan tiada kes COVID-19 dikesan melibatkan rakyat negara ini, hari ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

“Rekod hari ini sekali lagi 0 (sifar) warganegara cuma ada dua kes positif iaitu satu import dan satu lagi bukan warganegara (Indonesia),” kata beliau dalam aplikasi WhatsApp kepada SUARA MERDEKA.

Ia merupakan pencapaian yang boleh dibanggakan oleh negara setelah pelbagai usaha dilaksanakan bersama-sama oleh semua pihak dengan menggunakan pendekatan seluruh jentera kerajaan dan masyarakat (the whole of government and society approach).

Sementara itu BERNAMA melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan tetap melaksanakan saringan COVID-19 meskipun jumlah kes positif harian kekal satu digit dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

Katanya, operasi saringan pada masa ini masih berjalan seperti biasa termasuk kepada kumpulan sasar yang dikenal pasti.

“Kalau kita lihat di makmal hari ini, terdapat pengurangan sedikit iaitu hanya melaksanakan 27,000 saringan kerana sampel-sampel yang dihantar tidak sempat dilaporkan (keputusan) pada hari ini,”  katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 hari ini.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, orang ramai hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh kerajaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kita akan terus mengawasi keadaan dan sekiranya kita kembali semula kepada norma contohnya dan tanpa sebarang pertambahan dalam kes, jadi saya berpendapat bahawa baki itu yang kita mahu capai… tetapi kita perlu pertingkatkan pengawasan di hospital, dalam komuniti bagi kita memastikan tidak terdapat peningkatan mendadak kes walaupun kita telah membuka semula sektor ekonomi, sektor sosial, sektor pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, KKM akan terus mengawasi jangkitan tempatan virus berkenaan bagi memastikan ia terkawal sebelum meneruskan langkah setelanjutnya  yang akan memberi tumpuan kepada sempadan antarabangsa.

Dr Noor Hisham berkata, selain melihat kepada indeks global, Malaysia akan menimbang mengadakan perbincangan mengenai SOP yang dipersetujui dengan negara jiran seperti Singapura, Brunei dan Thailand sebelum menarik semula halangan sempadan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata dua lagi kluster telah ditamatkan pada hari ini iaitu kluster Selangor Mansion dan kluster IPT Sabah, menjadikan 34 kluster ditamatkan secara keseluruhan.  – SM

(Visited 142 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button