Nasional

Tiada kegagalan mekanikal pada bas terlibat nahas pelajar UPSI – Loke

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan laporan awal siasatan terhadap kemalangan yang mengorbankan 15 nyawa pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat dekat Gerik, Perak pada 9 Jun lalu tiada bukti kegagalan sistem mekanikal pada bas berkenaan.

Katanya, dapatan awal Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menunjukkan keadaan fizikal brek bas, kesemua pelapik brek dan dram brek bagi semua gandar masih berada dalam keadaan yang memuaskan.

“Tidak terdapat sebarang ketidakseragaman pada dram brek mahupun kenipisan pada pelapik brek. Tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek-aspek ini yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Loke berkata pemeriksaan pada fizikal tayar juga mendapati ketebalan bunga tayar dalam keadaan yang memuaskan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata komponen bahagian steering dan suspensi juga secara keseuluruhannya dalam keadaan memuaskan.

Katanya, kemungkinan besar kemalangan berlaku berpunca daripada faktor-faktor lain seperti manusia dan keadaan jalan.

“Kementerian Pengangkutan (MOT) ingin menegaskan bahawa keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan kami. Penguatkuasaan terhadap pematuhan piawaian keselamatan, kelayakan pemandu dan pemantauan operasi syarikat pengangkutan, akan terus diperketat secara berterusan,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button