Politik

Lawatan sulung Zambri ke New Zealand beri manfaat yang tinggi bagi kedua-dua negara

Sebanyak empat perkara telah dicapai Kementerian Luar Negeri menerusi satu lawatan kerja ke New Zealand yang dipacu menterinya, Zambri Abd Kadir.

Ujar Zambri dalam satu kenyataan, lawatan kerja itu bukan sahaja mengekalkan momentum hubungan dua hala malah menyelesaikan isu-isu tertunggak.

Menerusi lawatan kerja itu, Zambri menjelaskan dasar Kerajaan semasa di bawah kepimpinan baharu serta membuka peluang pelaburan baru ke negara Malaysia dan New Zealand.

“Lawatan kerja saya ke New Zealand ini juga merupakan lawatan bersejarah bagi kedua-dua negara kerana saya dan Menteri Luar Negeri New Zealand, Nanaia Mahuta telah bersama-sama menyaksikan pemeteraian dokumen Kerjasama Strategik (Strategic Partnership – SP) Malaysia – New Zealand.

“Kerjasama strategik ini akan memberi manfaat yang tinggi kepada kedua-dua negara dari segi peningkatan kerjasama dan kolaborasi dua hala yang lebih meluas dalam pelbagai sektor termasuklah kerjasama dalam sektor industri halal dan pertanian,” katanya.

Zambri berkata demikian setelah mengadakan Lawatan Kerja ke New Zealand dari 2 hingga 4 Mei baru-baru ini, yang juga merupakan lawatan sulungnya ke negara-negara di rantau Pasifik.

“Ini juga merupakan lawatan peringkat tinggi Menteri Luar Negeri, Malaysia ke New Zealand selepas 18 tahun (kali terakhir adalah pada tahun 2005).

“Selain itu, dalam kerangka lawatan tersebut, saya juga telah mengadakan sesi perbincangan dengan rakan sejawat saya, Nanaia Mahuta, mengenai pelbagai isu berkepentingan bersama,” ujarnya.

Dalam masa sama, Zambri turut berpeluang untuk beramah mesra dengan Diaspora Malaysia di New Zealand dan sama-sama meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Dianggarkan seramai 18,000 warga Malaysia berada di New Zealand yang terdiri daripada pelajar, golongan profesional serta pelabur-pelabur.

“Saya berkesempatan berbicara dengan mereka secara mendalam mengenai pengalaman sepanjang berada di New Zealand. Saya bangga dengan kegigihan dan kesungguhan mereka mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

Lawatan kerja ini juga melambangkan usaha berterusan Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan New Zealand.

New Zealand merupakan salah satu rakan dagangan yang penting buat Malaysia, sejak hubungan diplomatik ditubuhkan pada tahun 1957.

(Visited 139 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button