Nasional

Tiada justifikasi untuk membuka semula tender KVDT2

KERAJAAN tidak mempunyai justifikasi berfakta atau undang-undang untuk membuka semula tender Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2)

Ketua Pegawai Eksekutif Dhaya Maju-LTAT Sdn. Bhd., Datuk Mohamed Razeek Hussain, pada awalnya Dhaya Maju-LTAT menerima surat penganugerahan asal bertarikh 4 April 2018 bagi projek KVDT2 di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Selepas menerima surat itu, katanya, syarikat sudah pun memulakan kerja.

Ketika di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), penganugerahan KDVT2 ditamatkan pada 19 Oktober 2018.

“Selepas menerima, tiada asas untuk menamatkan Surat Penganugerahan asal, kerajaan PH pada 5 Julai 2019 bersetuju untuk melantik Dhaya Maju-LTAT bagi melaksanakan projek KVDT2 dan semua pihak memeterai Perjanjian Penyelesaian yang mana kerajaan bersetuju untuk mengeluarkan Surat Penganugerahan baharu.

“Sebagai balasan, Dhaya Maju-LTAT mengenepikan semua tuntutan terhadap kerajaan kerana penamatan yang tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun Kementerian Pengangkutan pada 28 Ogos lalu membuat keputusan untuk membuka semula tender bagi projek KVDT2.

Ini ekoran projek itu, antara yang didedahkan sebagai projek rundingan terus oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, keputusan membuka semula tender itu dibuat selepas mengambil kira keputusan kajian dan siasatan lanjut yang mendapati kos projek yang diterima Dhaya Maju-LTAT adalah melebihi daripada yang sepatutnya semasa pentadbiran kerajaan PH.

Mohamed Razeek menjelaskan, Dhaya Maju-LTAT dilantik untuk meneruskan projek KVDT2 di bawah Surat Penganugerahan bertarikh 19 Ogos 2019 pada nilai kontrak lebih rendah.

“Nilai kontrak yang dikurangkan itu diperoleh selepas beberapa siri pengurusan nilai dan makmal kejuruteraan nilai yang dilaksanakan dengan penyertaan semua pihak berkepentingan serta dipimpin oleh pakar teknikal dari Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Railway Assets Corporation (RAC), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Justeru kami berasa terkilan dan keliru dengan kenyataan Menteri berdasarkan beberapa laporan berhubung kos projek itu yang tidak kami ketahui.

“Untuk rekod, kerja-kerja sedang dipantau oleh perunding profesional dan semua tuntutan diperiksa serta disahkan sebelum pembayaran diluluskan,” katanya. – SM

(Visited 385 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button