Nasional

Polis tahan 40 individu, tumpas sindiket mata wang kripto lebih RM50 juta

Polis menahan 40 individu dan berjaya menumpaskan sindiket pelaburan mata wang kripto membabitkan kerugian lebih RM50 juta.
Memetik laporan BERNAMA Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata tangkapan membabitkan 31 lelaki dan sembilan wanita berusia antara 20 dan 55 tahun itu dibuat dalam operasi di seluruh negara pada 29 hingga 31 Okt lepas.
“Operasi ini dijalankan selepas polis menerima 76 laporan daripada mangsa skim pelaburan berkenaan yang membabitkan kerugian berjumlah RM50,620,880.29.
“Mangsa yang berusia antara 22 hingga 81 tahun itu kebanyakannya terdiri daripada golongan pesara dan ahli perniagaan,” katanya pada sidang media khas di Kuala Lumpur hari ini.
Ramli berkata modus operandi sindiket berkenaan adalah menawarkan pelaburan mata wang kripto dengan keuntungan tinggi dalam masa singkat.
“Pelabur diberikan akses untuk memantau aktiviti urus niaga mata wang kripto berkenaan dalam akaun yang didaftar di bawah nama pelabur, namun wang berkenaan tidak boleh dibawa keluar,” katanya.
Beliau berkata dalam operasi berkenaan, pihaknya turut mengesan trend baharu sindiket penipuan itu yang menggunakan syarikat dan perniagaan yang didaftarkan bertujuan untuk dijadikan keldai akaun.
“Setakat ini, kami mengesan sejumlah 63 akaun bank yang digunakan oleh sindiket ini melibatkan 51 syarikat. Kami percaya syarikat dan perniagaan ini didaftarkan semata-mata untuk pengoperasian skim penipuan ini,” katanya
(Visited 86 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button