Nasional

Tuanku Zara berkenan rasmi konvokesyen UPSI ke-24

Majlis perasmian Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-24 yang bermula semalam di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang juga Canselor UPSI.

Tuanku Zara (kanan) menganugerahkan gelaran Prof Emeritus kepada Prof Datuk Dr Noraini Idris di Dewan Tuanku Canselor pada sesi pertama semalam.

Baginda menganugerahkan ijazah kepada 586 graduan bagi sesi pertama iaitu doktor falsafah seramai 123 graduan, ijazah sarjana (191), dan ijazah sarjana muda seramai 272 graduan.
Pada konvokesyen kali ini, menyaksikan seramai 6,067 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing sehingga sesi ketujuh yang berakhir pada 9 Disember ini.

Pada sesi pertama ini, Baginda turut menyampaikan anugerah Prof Emeritus kepada Prof Datuk Dr Noraini Idris, yang bergiat aktif dalam bidang STEM (Science, Technology, Engineering, and Math).

Beliau adalah mantan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI dari 2010 hingga 2013 dan menghasilkan lebih 30 buku secara bersendirian dan bersama rakan penyelidik bagi dunia akademiknya.

Noraini yang juga anak kelahiran Negeri Sembilan juga pernah menjadi Dekan Fakulti Pendidikan di Universiti Malaya dan Ketua Jabatan Matematik dan Sains di fakulti yang sama.

Di samping itu, Baginda turut menyampaikan Anugerah Pelajaran DiRaja kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk (Animasi) dengan Kepujian ,Muhammad Luqman Hakim Mohd Hanapiah dan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral) dengan Kepujian, Liew Siew Ling.

Pingat Emas Canselor, dianugerahkan kepada Izyan Syahiran Rosland, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteraan Melayu) dengan Kepujian, manakala Pingat Emas Naib Canselor dianugerahkan kepada Muhammad Fariz Fikri Sukardi (Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian) dan Jananie a/p Chandra Rao (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kimia dengan Kepujian).

Hadir sama Pro Canselor, Academician Profesor Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid; Pro-Canselor , Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah, serta Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Puan Sri Datuk Seri Rohani Parkash Abdullah.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam ucapan aluannya berkata UPSI kini meniti kecemerlangan apabila diiktiraf sebagai universiti ke-8 terbaik di Malaysia dan 801 terbaik di dunia. UPSI juga berada di kedudukan 43 terbaik di Asia Tenggara, 182 terbaik di Asia dan 151 terbaik di dunia dalam subjek pendidikan.

Demi memastikan kemampanan ekosistem, katanya, UPSI giat
melaksanakan naik taraf kemudahan sukan, rekreasi dan alam
hijau di Kampus Sultan Azlan Shah, pembinaan Pusat Kesihatan
Universiti yang baharu, serta pembinaan kompleks bowling 24 lorong yang bertaraf antarabangsa dan dijangkakan siap pada tahun
2023.

“Tiga orang akademia UPSI pula diiktiraf sebagai World Top 2% Scientists bagi tahun 2022 iaitu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Suriani Abu Bakar, Dr Mittachul Huda, serta Dr. Wan Mohd Nuzul Hakimi Wan Salleh,” katanya.

Beliau berkata inisiatif pengantarabangsaan UPSI pula di imarahkan melalui kolaborasi strategik bersama University of Sydney, Australia; Chircik State Pedagogical of Tashkent Region (CHDPI), dan Umorie Graphene Technologies bagi pembangunan bateri kenderaan elektrik yang bakal dibangunkan di Pusat Latihan dan Penyelidikan Automotif UPSI.

Selain itu, katanya, UPSI berusaha memartabatkan bahasa dan budaya Melayu di persada dunia diteruskan dengan Penubuhan Pusat Pendidikan dan Penyelidikan di Lomonosov Moscow State University, Rusia; Uzbekistan World Language University Tashkent, serta Univesity of Dhaka, Bangladesh.

(Visited 212 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button