Sukan

OC putuskan dalam tempoh empat minggu penganjuran Olimpik Tokyo 2020

JAWATANKUASA Olimpik Antarabangsa (IOC) akan membuat keputusan muktamad sama ada untuk meneruskan atau menangguhkan penganjuran temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam tempoh empat minggu, susulan pandemik COVID-19.

IOC dalam laman web di www.olympic.org menyatakan mereka telah memulakan perbincangan yang menyeluruh dengan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020, pihak berkuasa Jepun dan juga Kerajaan Metropolitan Tokyo mengenai masa depan Sukan Olimpik 2020, dan menambah pembatalan Sukan Olimpik bukan agenda mereka pada masa ini.

“IOC yakin ia akan dapat menyelesaikan perbincangan ini dalam tempoh empat minggu akan datang, dan sangat menghargai setiakawan serta kerjasama NOC (Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan) dan IF (Persekutuan Sukan Antarabangsa) dalam menyokong atlet dan menyesuaikan perancangan Sukan Olimpik,” katanya.

Badan pentadbir dunia itu juga mendedahkan mereka telah meningkatkan perancangan senario Sukan Olimpik 2020, termasuk mengubah suai pelan operasi sedia ada untuk Sukan Olimpik diteruskan pada 24 Julai dan juga perubahan tarikh mula penganjuran Sukan Olimpik.

IOC menambah langkah itu akan membolehkan mereka mendapat gambaran sebenar mengenai situasi perkembangan wabak COVID-19 di seluruh dunia dan di Jepun, yang kemudiannya akan menjadi asas untuk membuat keputusan terbaik demi kepentingan atlet dan individu lain yang terlibat.

IOC juga berkata sambutan hangat yang ditunjukkan rakyat Jepun sempena ketibaan Obor Sukan Olimpik dari Greece pada Jumaat dapat meningkatkan keyakinan IOC untuk kerajaan Jepun menganjurkan temasya Sukan Olimpik dengan sekatan keselamatan tertentu, dan pada masa yang sama terus mendukung prinsip melindungi kesihatan semua orang yang terlibat.

Ia juga menggariskan beberapa cabaran yang akan mereka hadapi sebelum membuat keputusan terbaik untuk kepentingan semua pihak terlibat termasuk peningkatan drastik kes COVID-19 di seluruh dunia, sejumlah besar hotel yang telah ditempah oleh para atlet dan pegawai, beberapa venue penting yang diperlukan untuk Sukan Olimpik mungkin tidak dapat disediakan berikutan pandemik itu, selain untuk menyelaraskan jadual pertandingan bagi 33 acara Sukan Olimpik itu.

IOC mengadakan mesyuarat lembaga eksekutif pada Ahad berikutan desakan oleh atlet dan NOC untuk menangguhkan Sukan Olimpik berikutan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia. – BERNAMA

(Visited 234 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button