Rencah Hidup

Tiada bazar Ramadan, hidupkan semula budaya bertukar juadah sesama jiran

COVID-19 mengubah segala-galanya. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telahpun meminta rakyat supaya membiasakan diri dengan normal atau kebiasaan kehidupan baharu. Menurutnya, apa yang biasa dibuat dahulu, tidak boleh dilakukan lagi bagi memutuskan rantaian virus maut COVID-19.

“Ringkasnya, kehidupan kita untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang ini tidak akan kembali seperti biasa. Kita akan menjalani kehidupan dengan the new normal atau kebiasaan baharu.” Begitulah ingatan Perdana Menteri ke-8 itu dalam Perutusan Khas COVID-19 pada 10 April lalu.

Bagi umat Islam, realitinya normal baharu yang akan mereka tempuhi menjelang Ramadan yang dijadual akan berlangsung pada 24 April ini ialah tiada lagi bazar Ramadan.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan pada 13 April lalu. Langkah itu diambil bagi mengelakkan berlakunya penularan virus maut Covid-19 di bazar Ramadan yang telah membunuh lebih 145,000 manusia di seluruh dunia.

Selepas berpuluh tahun bazar Ramadan menjadi budaya masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia tiba-tiba tahun ini kemeriahan untuk membeli juadah berbuka puasa lenyap dek kerana wabak Covid-19.

Murtabak, ayam percik, rojak, roti john, nasi mandy, nasi arab, nasi dagang, laksa, air tebu, air tembikai, air milo dan 1001 menu lain tiba-tiba hilang dari pandangan. Masyarakat pengguna yang selama ini bergantung kepada bazar Ramadan untuk berbuka puasa menjadi panik.

Jika dahalu setiap kali berbuka puasa makanan yang dihidangkan untuk keluarga begitu meriah kerana mudah untuk membuat pilihan di bazar Ramadan. Namun tahun ini bagaimana? Itu yang mereka tanya kepada diri sendiri.

Dahulu sebelum bazar Ramadan menjadi budaya, juadah yang dihidangkan ketika berbuka tidak kurang meriahnya. Walaupun pada hari tersebut ibu kita hanya memasak dua tiga hidangan namun ketika berbuka makanan yang dihidangkan menjadi lebih daripada apa yang dia masak.

Sebabnya kerana dahulu jiran-jiran saling bertukar hidangan. Jika si Joyah memasak kari ayam dia akan memberi semangkuk kepada kak Kiah, kak Kiah pula membalas dengan sambal sotong ketika memulangkan mangkuk Joyah.

Budaya itu tidak ada lagi mungkin kerana ditelan oleh budaya bazar Ramadan. Orang tidak lagi mempunyai masa untuk memasak sebaliknya lebih mudah untuk membeli.

Bagaimanapun seorang pengguna Facebook, Anip mengemukakan cadangan agar budaya tradisi bertukar-tukar juadah semasa jiran dihidupkan semula namun dengan cara yang lebih sistematik bagi menetapi standard Perintah Kawalan pergerakan.

“Kembalikan tukar juadah macam zaman dahulu dalam komuniti tetapi lebih bersistem untuk standard PKP. Boleh buka pada yang nak join contohnya dalam group taman perumahan. Buat jadual dalam satu hari hanya dua, tiga rumah yang buat menu apa-apa yang mencukupi dan dihantar kepada semua rumah ahli.

“Jadi tiada keperluan lagi untuk bazar Ramadan dan mengeratkan silaturahim sekaligus dapat merasa pelbagai menu dan air tangan berbeza setiap hari. Apapun ia perlu kebenaran dan pihak berkuasa dan mematuhi SOP yang ditetapkan. Sekian mohon mencadangkan,” kata Anip.

Mungkin cadangan beliau boleh dipertimbangkan. Lagipun sepanjang PKP berlangsung ramai yang telah berkongsi gambar masakan mereka di media sosial. Menarik dan sedap tapi hanya boleh ditengok oleh jiran sebelah sambil meneguk air liur.

Jadi apa salahnya sesekali berkongsi juadah yang sebenar kepada jiran untuk berbuka puasa. Pahala bersedekah berkali ganda di bulan Ramadan.-SM

(Visited 727 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button