Negeri

Thaipusam: Polis, Rela kawal Kuil Sri Subramaniam

Kuil Sri Subramaniam di Sungai Petani, Kedah dikawal oleh anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sempena perayaan Thaipusam malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata, kawalan tersebut bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Menurutnya, seramai 28 anggota polis ditempatkan di kuit tersebut bagi memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan hanya lima orang berada di kuil sepanjang perayaan itu berlangsung.

Jumlah itu hanya membabitkan ahli jawatankuasa kuil dan petugas di kuil.

Katanya, anggota Rela turut diarahkan mengawal pintu utama dan belakang kuil tersebut supaya tiada penganut yang cuba menceroboh masuk ke dalam kuil.

“Kami turut terima bantuan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) yang berada di sekitar, kerana kami jangkakan kemungkinan ada penganut yang teruja mengadakan sembahyang dan datang tengok.

“Oleh itu, kami bukan sahaja sediakan pasukan di sini, tetapi pasukan ini juga akan memantau.

“Kami tahu selain daripada kuil ini, terdapat kuil-kuil lain yang dulu sambutannya membawa kavadi. Jadi kami pastikan perkara tersebut tidak berlaku,” kata Adzli.

Beliau turut mengadakan perjumpaan awal dengan pihak kuil tadi bagi memaklumkan SOP terbaharu MKN yang perlu dipatuhi.

Beliau berpuas hati kerana jawatankuasa kuil mengambil inisiatif menggantung poster di hadapan kuil.

Selain itu pihak kuil turut memaklumkan pelaksanaan SOP melalui laman sosial Facebook, WhatsApp dan sebagainya.-SM

(Visited 275 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button