Rencah Hidup

Thaipusam kali ini tanpa kavadi, bunyi ‘urumee melam’

Sambutan Thaipusam di Malaysia yang selalunya meriah, kali ini terkesan oleh pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak, yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan wabak itu.

Buat pertama kali, tidak akan kelihatan kebanjiran pengikut setia Dewa Murugan pada sambutan Khamis ini, khasnya di tiga lokasi utama iaitu di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Selangor; Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani di Pulau Pinang dan Kuil Arul Subramaniar Gunung Cheruh, Ipoh, Perak.

Juga, tidak akan ada ‘kavadi’ yang diiringi alunan muzik tradisional ‘urumee melam’ selain ribuan penganut berpakaian warna kuning menjunjung pasu mengandungi susu ‘paal kudam’ dan perarakan pedati membawa arca Dewa Murugan, seperti kelaziman.

Thaipusam merupakan perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’, iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya Dewi Parvati bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman, dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

Bercakap kepada Bernama, Presiden Malaysia Hindu Sangam Datuk R.S Mohan Shan yang bersetuju dengan tindakan kerajaan, berkata penganut Hindu perlu menerima keadaan semasa dan turut membantu dalam usaha membendung penularan wabak itu dengan menyambutnya secara sederhana di rumah masing-masing.

Perayaan Thaipusam tahun ini bukan tidak boleh dirai, cuma pergerakan ke kuil untuk menyambutnya dan menunaikan nazar sahaja yang tidak dibenarkan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves Tan Sri R. Nadarajah yang juga akur dengan arahan kerajaan supaya tiada sambutan secara besar-besaran, berkata penganut Hindu boleh menunaikan nazar mereka selepas berakhirnya pandemik COVID-19 atau pada tahun depan.

Beliau menjelaskan penganut boleh bersembahyang di rumah pada hari sambutan sebelum membawa ‘kavadi’ dan ‘paal kudam’ untuk menunaikan nazar mereka kepada Dewa Murugan di Batu Caves selepas berakhirnya PKP ataupun pandemik.

Kuil Batu Caves yang terkenal dengan patung Dewa Murugan terbesar di dunia setinggi 42.7 meter itu juga akan menyiarkan secara langsung upacara menaikkan bendera ‘Seval Kodi’ pada 27 Jan dan upacara khas sembahyang enam waktu (aaru kaalam poojai) pada 28 Jan menerusi media sosial.

“Penganut Hindu boleh menyaksikan kesemua upacara itu melalui halaman ‘We Love Batu Caves’ di Facebook dan YouTube”, katanya.

Selain menunaikan nazar dengan menjunjung ‘paal kudam’ yang dianggap paling suci dan ‘kavadi’ dengan menaiki 272 anak tangga Batu Caves menuju ke kuil di dalam gua itu, Thaipusam juga terkenal dengan perarakan Pedati Perak di ibu negara yang diiringi puluhan ribu orang.

Buat julung kalinya, perarakan Pedati Perak Batu Caves setinggi 7.3 meter itu akan bergerak dengan 10 peserta sahaja tanpa melibatkan orang awam, selain tidak akan berhenti di mana-mana lokasi seperti kebiasaan.

Mereka terdiri daripada pemandu, penjaga wayar kabel, penjaga lampu pedati, sami kuil dan lima ahli jawatankuasa kuil akan menyertai perarakan Pedati Perak yang membawa arca Dewa Murugan dan dua isterinya, iaitu Dewi Valli dan Dewi Theivanai, akan bergerak dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S Lee ke Batu Caves.

Kebenaran membawa arca itu diberikan oleh kerajaan sebagai menghormati penganut Hindu yang meraikan sambutan itu.

Sementara itu, semua acara bersempena sambutan Thaipusam di Pulau Pinang termasuk perarakan pedati perak yang berusia lebih 100 tahun dan pedati emas yang baharu turut dibatalkan.

Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang Prof Dr P. Ramasamy berkata dua kuil utama iaitu Kuil Nattukottai Chettiar dan Hilltop Arulmigu Balathandayuthapani juga membatalkan semua sambutan di kuil berkenaan.

Bagaimanapun, upacara sembahyang pada hari perayaan Thaipusam akan dilakukan oleh ahli jawatankuasa di dua kuil berkenaan dengan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Turut senada Ahli Jawatankuasa Kuil Sri Visvanather Sri Visalatchi Alayam di Bayan Baru, K. Arujunan yang meminta penganut Hindu bersembahyang di rumah dan mengamalkan pemakanan vegetarian pada hari berkenaan.

“Kita anggap kuil dengan rumah adalah sama. Sebab di rumah kita pun ada tempat, bilik sembahyang. Jadi kita akan tunaikan (ibadat) di rumah sahajalah,” katanya.– Bernama

(Visited 339 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button