Berita

Thaipusam dirai penuh meriah di seluruh negara

KUALA LUMPUR, 8 Feb — Perayaan Thaipusam yang dirai pada bulan ‘Thai’, bulan ke-10 dalam kalendar Tamil, disambut meriah oleh jutaan penganut agama Hindu di seluruh negara sempena memperingati kelahiran Dewa Murugan, hari ini.

Kemeriahan sambutan perayaan itu khususnya di Batu Caves menyaksikan lautan penganut Hindu dan pelancong tempatan serta asing, membanjiri Kuil Sri Subramaniar Swami di sini sejak 6.30 pagi tadi dan ada yang turut sama mendaki 272 anak tangga di kuil berkenaan.

Bagi penganut Hindu, peluang menghadiri upacara keagamaan itu digunakan untuk menyempurnakan nazar masing-masing dengan membawa ‘pal koodam’ (belanga susu) dan ‘kavadi’ selain memecahkan kelapa serta mencukur rambut sebagai penebus dosa.

Di SELANGOR, pelajar Chin Siew Bee, 23, mengambil kesempatan cuti umum membawa ahli keluarganya berkunjung ke Batu Caves bagi merasai suasana perayaan itu.

“Saya menaiki bas dari Sri Gombak ke sini kerana susah hendak parkir, lagi pun ini pertama kali saya datang ke sini untuk melihat mereka merayakan perayaan ini dan ia sangat meriah apabila saya berpeluang menyaksikan sendiri upacara mandi susu serta menaiki 272 tangga beramai-ramai,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati ada dalam kalangan rakyat tempatan dan pelancong asing yang hadir turut mengambil langkah memakai topeng hidung dan mulut untuk mengelak jangkitan novel koronavirus 2019.

Pelancong dari Romania yang mahu dikenali sebagai Bogdan, 23, berkata terdapat keperluan untuk mengambil perlindungan tambahan terutamanya apabila berada di tempat yang ramai orang.

Di PULAU PINANG, ribuan penganut Hindu mula membanjiri Jalan Kebun Bunga di George Town seawal 6 pagi, dengan memakai pakaian kuning yang melambangkan kesucian, sebelum berjalan kaki sejauh dua kilometer ke Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani.

Turut kelihatan beberapa pembayar nazar dengan membawa kavadi, sambil beberapa pelancong dilihat turut serta untuk menyaksikan sendiri kemeriahan perayaan itu yang disifatkan begitu unik.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T. Narenasagaran berkata sambutan Thaipusam di negeri itu sejak semalam berjalan lancar dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang perayaan itu berlangsung.

Di PERAK, Kuil Sri Subramaniar yang terletak di Gunung Cheroh, Ipoh menjadi tumpuan ribuan penganut Hindu pada setiap kali sambutan Thaipusam dengan perarakan pedati menuju ke Kuil Sri Subramaniar bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari di Buntong sejak tengah malam tadi.

Perarakan yang diiringi alunan alat muzik tradisional dan barisan ‘Thanner Pantall’ iaitu khemah sementara yang menempatkan makanan dan minuman secara percuma kepada pengunjung yang mengikuti ritual itu turut menarik perhatian pelancong tempatan dan asing.

Di KEDAH, dianggarkan 100,000 penganut Hindu membanjiri Jalan Kuala Ketil dekat Pekan Lama, di Sungai Petani yang menempatkan Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam (Kuil Sri Subramaniya) bagi melepaskan niat dan menunaikan nazar masing-masing.

Selain penganut Hindu, beberapa masyarakat Cina turut kelihatan bersama-sama menyertai upacara keagamaan itu termasuk membayar nazar dengan berarak membawa ‘kavadi’ dan belanga susu ‘pal koodam’.

Vivian Ng, 45, yang berasal dari Taman Intan, Sungai Petani berkata walaupun berbangsa Cina, namun ia tidak menghalang mereka sekeluarga datang untuk membayar nazar dan berdoa bagi kesejahteraan keluarga mereka.

Di JOHOR, Kuil Sri Muniswarar di Jalan Skudai-Johor Bahru, Tampoi merupakan antara kuil yang menjadi tumpuan penganut Hindu dan dianggarkan kira-kira 10,000 orang hadir ke kuil itu seawal 8 pagi.

Sambutan juga dimeriahkan dengan perarakan kavadi sejauh empat kilometer bermula dari kuil berkenaan ke Kuil Sri Subramaniar di Jalan Pengkalan Rinting dan kembali semula ke kuil Sri Muniswarar.

Di NEGERI SEMBILAN, meskipun tiada perarakan besar-besaran dibuat pada tahun ini, sambutan perayaan Thaipusam tetap meriah.

Tinjauan di Kuil Sri Bala Thandayuthapani di Jalan Yam Tuan yang merupakan kuil tertua dan terbesar di Seremban, mendapati kira-kira 2,000 penganut Hindu mula membanjiri kuil berkenaan seawal 6 pagi bagi melakukan acara sembahyang dan aktiviti keagamaan lain.

Di SABAH, lebih 1,000 penganut Hindu daripada pelbagai daerah di Sabah hadir meraikan perayaan itu di Kuil Sri Subramaniar, Kem Lok Kawi.

Menurut kepercayaan penganut Hindu, perayaan itu adalah untuk meraikan peristiwa ibu kepada Dewa Murugan menyerahkan lembing kepadanya untuk menghapuskan kejahatan, dan disambut semasa bulan penuh Tamil dipanggil Thai (berlaku dalam Januari atau Februari).

— BERNAMA

(Visited 497 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button