Politik

UMNO sudah suarakan tidak sertai PN sebagai parti komponen

UMNO sudah menyuarakan tidak akan sertai Perikatan Nasional sebagai parti komponen jika PN didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendirian itu sudahpun disuarakan dalam dua mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan UMNO.

“Hampir keseluruhan kepimpinan di semua peringkat mahu UMNO kekal Barisan Nasional (BN) dan terus memperkukuhkan kerjasama dengan PAS dalam MN!

“Justeru, apa yang disuarakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan beliau baru-baru ini merupakan suara kolektif kepimpinan dan akar umbi UMNO,” kata Asyraf Wajdi.

Menurut Asyraf Wajdi, pendirian tersebut telahpun dibangkitkan oleh barisan 11 orang kepimpinan yang mewakili UMNO dalam Jawatankuasa Induk Perundingan Muafakat Nasional yang turut disertai 11 kepimpinan tertinggi PAS.

Asyraf Wajdi mengulas kenyataan Setiausaha Agong PAS Datuk Takiyuddin Hassan bahawa PAS tidak maklum akan keputusan UMNO enggan menyertai Perikatan Nasional.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO akan terus mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir negara ketika ini sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.

“Namun sebagaimana yang ditegaskan, UMNO akan terus mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional sehingga PRU-15.

“Kesepakatan juga dicapai dengan kepimpinan PAS untuk terus memperkukuhkan MN tanpa sekelumit perasaan untuk menggagalkan Kerajaan PN yang dibentuk bersama demi rakyat dan negara,” kata Asyraf Wajdi.

Takiyuddin sebelum ini berkata, Muafakat Nasional (MN) tidak mengadakan sebarang perbincangan sebelum UMNO mengumumkan keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN).

Takiyuddin bagaimanapun enggan mengulas sama ada kenyataan Ahmad Zahid bersifat peribadi atau organisasi.

Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), menegaskan PAS menyokong sepenuhnya kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pada masa sama, katanya, PAS akan terus memperkasakan MN kerana sudah ada perjanjian dan parti itu selaku parti Islam akan berpegang kepada janji.

Akhbar sebelum ini melaporkan, UMNO membuat keputusan tidak menyertai PN, sebaliknya akan memperkasakan MN bersama PAS dan komponen Barisan Nasional (BN).

Pendirian terbaharu itu diumumkan Ahmad Zahid yang berkata, sokongan kepada kerajaan PN ketika ini, hanya berlandaskan sokongan Ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan di beberapa negeri.-SM

(Visited 235 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button