Luar Negara

Thailand ambil pendekatan diplomasi senyap cari penyelesaian krisis politik Myanmar

DIPLOMASI senyap. Itu pendekatan yang diambil Thailand dalam usahanya mencari penyelesaian aman dalam menangani krisis politik di negara jirannya, Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada Februari lalu.

Jurucakap Kementerian Luar Tanee Sangrat dalam satu kenyataannya hari ni berkata, Thailand memantau rapat keadaan di Myanmar sejak tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi.

“Sebagai rakan kepada semua pihak di Myanmar dan sebahagian daripada keluarga ASEAN, Thailand bersedia untuk menyumbang secara konstruktif.

“Sebahagian besar apa yang telah dibuat Thailand mungkin tidak diumumkan kerana kami percaya kaedah “diplomasi senyap” dengan negara jiran adalah lebih berkesan dan ia sejajar dengan tradisi diplomasi Thailand,” katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-China.


Beliau juga djadual menghadiri Mesyuarat Keenam Menteri Luar Mekong-Lancang di Chongqing, China mulai hari ini sehingga 8 Jun nanti untuk membincangkan kerjasama dua hala, perkembangan di rantau ini dan keadaan di Myanmar.

Tanee berkata, sebagai jiran Myanmar, Thailand amat sedih dengan keganasan yang berlaku di Myanmar yang mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Thailand ulangi gesaannya untuk meredakan ketegangan, menghentikan kekerasan, pembebasan semua tahanan dan penyelesaian aman melalui dialog dan saluran yang berkesan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan sekurang-kurangnya 845 penduduk Myanmar terkorban akibat kekerasan tentera dan lebih 4,500 lagi dipenjara sejak rampasan kuasa itu.

Thailand berharap lima konsesus yang dicapai pada Mesyuarat Pemimpin ASEAN di Jakarta, 24 April lalu dapat dilaksanakan sepenuhnya secepat mungkin, terutama pelantikan Utusan Khas ASEAN dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.

“Kami berharap agar masyarakat antarabangsa dan semua pihak yang terlibat di Myanmar akan menyokong usaha ASEAN ini,” katanya.

Ujarnya, Kerajaan Thailand baru-baru ini menyumbang lima juta baht kepada Persatuan Palang Merah Myanmar melalui Persatuan Palang Merah Thailand.

“Kedua-dua negara juga telah bekerjasama melaksanakan projek pembangunan untuk kepentingan rakyat Myanmar,” katanya.

Selain itu, Tanee berkata Thailand akan terus membantu penduduk Myanmar yang melarikan diri daripada keganasan di negara mereka.

Jumaat lalu, Myawaddy TV melaporkan pemimpin junta, Min Aung Hlaing bertemu Setiausaha Agung ASEAN, Lim Jock Hoi dan Menteri Luar II Brunei, Erywan Mohd Yusof di Naypyidaw.

Susulan pertemuan itu, pihak yang membantah junta Myanmar menyatakan mereka kecewa dengan usaha ASEAN untuk mengakhiri krisis, lapor Reuters.

Beberapa keping foto turut tular di media sosial yang menunjukkan penunjuk perasaan di Mandalay bertindak membakar bendera ASEAN. – SM

 

(Visited 15 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button