Politik

TH untung: ‘Sudah-sudahlah kekanda Mujahid’

KETUA Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menempelek bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa yang didakwa cuba mengambil keuntungan politik berikutan pengumuman keuntungan RM1.25 bilion Tabung Haji semalam.

Asyraf Wajdi mendakwa, sebahagian besar keuntungan TH itu merupakan keuntungan sukuk Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) yang masih belum dibayar.

“Ia hanya untung di atas kertas dan Tabung Haji menanggung risiko amaun ini berkemungkinan tidak akan dibayar selagi mana sukuk tersebut belum dijamin oleh kerajaan.

“Kedua, keuntungan ini juga disumbangkan oleh ketiadaan ibadah haji tahun ini. Secara tidak langsung, TH tidak perlu mengeluarkan subsidi sebanyak RM300 hingga RM400 juta seperti mana tahun-tahun sebelumnya,” jelas Asyraf Wajdi.

Dalam Twitternya, Mujahid menyangkal tuduhan bahawa beliau melelong aset Lembaga Tabung Haji (TH) ketika memegang jawatan itu.

Beliau berkata, buktinya ialah TH menerusi kenyataannya hari ini mengumumkan pendapatan pelaburan sebanyak RM1.55 bilion dalam tempoh setengah tahun pertama 2020 dan turut disokong oleh pelaburan di pasaran sukuk dan saham.

“2018 saya ambil alih defisit RM10 bilion, hujung 2018 hasil pakej pemulihan tutup defisit dengan lebihan RM1 bilion, mampu bayar hibah 1.25 peratus, 2019 lebihan RM2.3 bilion bayar hibah 3.05 peratus.

“First half 2020 lebihan RM1.86 bilion, Insya-Allah hibah lebih baik. Sapa kata saya lelong aset TH??” kata Mujahid di Twitternya.

Asyraf Wajdi berkata, pengakuan Naib Pengerusi Amanah itu bahawa tidak berlaku sebarang penjualan aset TH juga meleset.

Menurut Asyraf Wajdi, laporan The Edge Daily pada 21 Mac lalu mendedahkan bagaimana UJSB telahpun melupus 13 saham yang asalnya milik Tabung Haji ketika harga pasaran berada pada paras yang sangat rendah.

“Sebagai contohnya, 28.48 juta unit saham Icon Offshore Bhd yang didagangkan pada harga purata 25.6 sen pada tahun 2019, telah dilupuskan pada awal Mac 2020 ketika harganya berada pada paras 6.5 sen sahaja

“Siapakah yang telah memberi izin penjualan saham-saham ini sedangkan kerajaan Perikatan Nasional masih belum terbentuk pada ketika itu?

“Begitu juga, bukankah kekanda melalui surat TH bertarikh 3 Disember 2019 telah mempersetujui agar TH melepaskan “First Right of Refusal” yang membolehkan UJSB menjual 18 aset hartanah milik asal Tabung Haji kepada pihak ketiga?” kata Asyraf Wajdi.

Asyraf Wajdi yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal agama, turut menafikan dakwaan Mujahid bahawa Tabung Haji mengalami defisit RM10 bilion apabila beliau mengambil alih jawatan menteri.

“Apabila PH mengubah kaedah perakaunan TH dan menolak kaedah Net Realisable Value (NRV) yang diamalkan pengurusan lama, defisit Tabung Haji setakat 31 Disember 2018 hanyalah RM4.1 bilion

“Defisit ini membesar kepada RM10.9 bilion pada 31 Disember 2018 iaitu selepas PH membentuk kerajaan,” kata Asyraf Wajdi.

Asyraf Wajdi sekali lagi menuntut agar Kerajaan Perikatan Nasional menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat dan memulihkan semula kedudukan Tabung Haji ke tahap yang sepatutnya.

Jelas beliau, institusi umat Islam itu sepatutnya dipelihara dan tidak dijadikan bidak catur bagi keuntungan politik sesetengah pihak.-sm

(Visited 376 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button