Ekonomi

Pendapatan Takaful Malaysia Meningkat 27% pada Suku Ketiga TK2023

Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia), pengendali takaful PERTAMA di Malaysia, melaporkan keputusan kewangan yang kukuh bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 untuk merekodkan
pendapatan takaful sebanyak RM639.5 juta, peningkatan 27% berbanding RM501.7 juta yang dicatatkan
pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Keuntungan selepas zakat dan cukai Takaful Malaysia bagi tempoh dalam tinjauan meningkat sebanyak 25% kepada RM91.1 juta daripada RM72.9 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal,  berkata, “Prestasi perniagaan kami untuk tiga suku pertama tahun ini telah berkembang pada arah aliran positif dan terus mengukuhkan pertumbuhan perniagaan kami secara keseluruhan.

“Peningkatan pendapatan takaful Kumpulan bagi suku dalam tinjauan adalah disebabkan oleh pendapatan takaful yang lebih tinggi diperolehi untuk perkhidmatan takaful yang disediakan untuk perniagaan takaful keluarga dan takaful am.

“Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM130.9 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023, lebih tinggi sebanyak 10% berbanding RM118.7 juta pada tempoh yang sama tahun
lepas, terutamanya disumbangkan oleh pendapatan keuntungan yang lebih tinggi daripada pelaburan pendapatan tetap.”

“Dana takaful keluarga kami mencatatkan pendapatan takaful sebanyak RM523.5 juta untuk suku ketiga  dalam tinjauan, meningkat sebanyak 17% berbanding RM448.5 juta pada tempoh sama tahun lepas, terutamanya disebabkan oleh pendapatan takaful yang lebih tinggi diperoleh untuk perkhidmatan takaful yang disediakan.

“Dana takaful am kami mencatatkan peningkatan 27% dalam pendapatan takaful untuk merekodkan RM332.7 juta bagi suku yang dikaji berbanding RM262.3 juta yang dilaporkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya. Pendapatan takaful yang lebih tinggi adalah disebabkan oleh pendapatan caruman yang lebih tinggi daripada  kelas perniagaan kebakaran dan motor,”  kata Nor Azman Zainal.

Katanya, mereka optimis untuk meluaskan pasaran saham dan melaksanakan perjalanan berprestasi tinggi ini untuk mencapai hasil dan keuntunganmampan.

“Kami menjangkakan perniagaan bancatakaful, perbendaharaan, manfaat pekerja dan takaful am untuk terus berdaya saing dan menjana pertumbuhan perniagaan.

“Kejayaan kami di dalam perniagaan bancatakaful dengan kedudukan kukuh adalah atas dasar  kepercayaan rakan kongsi bank kami terhadap keupayaan kami untuk memenuhi dan melangkaui jangkaan harga, perkhidmatan dan kepakaran mereka. Kami bekerjasama dengan 16 buah bank, sekali gus membuktikan kejayaan kami dalam memberikan nilai perkongsian untuk mengembangkan perniagaa bersama.

“Kami bekerjasama rapat dengan rakan kongsi bank untuk menembusi segmen pasaran sedia ada dan meneroka segmen pasaran baharu untuk kemampanan dan pengembangan perniagaan.

“Dengan pelan pengembangan strategik rakan kongsi bank dan komitmen untuk mengembangkan pasaran runcit, kami melihat potensi perniagaan yang lebih besar dalam penasihat perniagaan takaful keluarga.

“Matlamat kami adalah untuk mengukuhkan kedudukan kami di pasaran runcit dengan menyediakan rakyat Malaysia akses yang lebih meluas kepada penyelesaian perlindungan yang komprehensif dan berpatutan, daripada produk takaful keluarga hingga takaful am.

“Cabang takaful am kami akan terus menjadi pemacu pertumbuhan yang penting. Kami akan mengukuhkan tenaga agensi korporat dengan mengekalkan dan merekrut ejen korporat berpotensi tinggi, meningkatkan pelanggan motor dalam talian kami dan menembusi segmen lain untuk mengembangkan perniagaan takaful am kami. Di samping itu, kami akan mengimbangi margin pengunderaitan dan pertumbuhan perniagaan kami untuk meningkatkan bahagian pasaran.

Dalam jangka masa panjang, hala tuju strategik kami adalah untuk mempelbagaikan portfolio perniagaan dan memastikan perniagaan mampan masa depan untuk melengkapkan perniagaan teras sedia ada. Kami akan terus meraih gelombang pertumbuhan seterusnya dan mendorong Takaful Malaysia untuk mengekalkan kedudukan kukuh dalam perniagaan takaful keluarga, mengembangkan perniagaan takaful am dan merebut peluang pasaran untuk mengembangkan perniagaan kami pada tahun-tahun akan datang,” rumus Nor Azman Zainal.

(Visited 97 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button