Sukan

THT akui cabaran sukar pertahan Piala Sumbangsih

KETUA jurulatih pasukan hoki Terengganu, Terengganu Hockey Team (THT) Dhaarma Raj Abdullah mengakui berdepan cabaran sukar untuk mempertahankan Piala Sumbangsih pada Jumaat ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Ini memandangkan lawannya, pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bukan pasukan yang calang-calang kerana ada ramai pemain kebangsaan dan dua pemain import daripada Australia yang pernah membantu negaranya menjadi juara dunia.

“Selain itu mereka juga punyai penjaga gol terbaik dunia daripada Ireland, David Harte,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jersi dan memperkenalkan penaja serta pemain THT dan Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) Liga Hoki Malaysia (MHL) 2020, di sini, malam tadi.

Untuk musim 2020, THT mempertaruhkan 22 pemain termasuk empat pemain import iaitu masing-masing dua daripada Korea Selatan dan Pakistan.

TLHT pula tampil dengan 20 pemain termasuk tiga pemain import daripada Argentina dan Kazakhstan bagi memperkuat pasukan.

Mengulas lanjut Dhaarma berkata, THT juga membawa cabaran getir untuk merebut kejohanan liga musim ini memandangkan pasukan lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Hockademy KL juga sudah memperkuat skuad masing-masing.

Malah beliau yang juga bekas jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan turut menolak anggapan bahawa THT adalah pasukan pilihan utama bagi menjuarai kejohanan liga musim ini.

“Bagaimanapun ini adalah satu cabaran yang bagus buat saya, pemain dan pegawai-pegawai THT untuk membuktikan keupayaan memenangi gelaran liga dan dua lagi piala musim ini.

“Jadi penting untuk kami menang perlawanan Piala Sumbangsih untuk mendapatkan mata sebagai landasan untuk muncul juara kali ini,” katanya yang turut dibantu penolong jurulatih, Seo Jongho.

THT menutup tirai Liga Hoki Malaysia (MHL) 2019 dengan cemerlang apabila memenangi Piala Sumbangsih dan Piala TNB manakala gelaran juara Liga Hoki Malaysia pula disandang oleh UniKL. – BERNAMA

(Visited 181 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button